PRN: Kelengkapan keselamatan kebakaran dalam keadaan baik

Kesemua kelengkapan keselamatan kebakaran di pusat-pusat penamaan calon, tempat mengundi dan penjumlahan undi di enam negeri yang terlibat PRN tidak lama lagi, berada dalam keadaan baik. - Gambar hiasan
Kesemua kelengkapan keselamatan kebakaran di pusat-pusat penamaan calon, tempat mengundi dan penjumlahan undi di enam negeri yang terlibat PRN tidak lama lagi, berada dalam keadaan baik. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kesemua kelengkapan keselamatan kebakaran di pusat-pusat penamaan calon, tempat mengundi dan penjumlahan undi di enam negeri yang terlibat Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi, berada dalam keadaan baik.

Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Malaysia, Datuk Ahmad Izram Osman berkata, kesemua pusat penamaan calon, pusat mengundi dan pusat penjumlahan undi telah diperiksa dan mempunyai tahap keselamatan yang rapi.

"Untuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), dua bahagian utama yang terlibat (dalam PRN) ialah Bahagian Keselamatan Kebakaran dan Bahagian Operasi Kebombaan.

"Kami beri keutamaan jika ada panggilan kecemasan berlaku semasa PRN, selain beri keutamaan pada hari penamaan calon, mengundi dan penjumlahan undi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Seminar Keselamatan Kebakaran Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini pada Isnin.

Ahmad Izram berkata, JBPM akan memberi keutamaan kepada balai-balai berkaitan dan berdekatan untuk mengambil tindakan segera sekiranya berlaku sebarang insiden.

Menurutnya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga telah memanggil Pengarah JBPM Negeri yang terlibat dalam PRN ini untuk sesi taklimat.

"Bahagian Operasi JBPM dan balai bomba di negeri berkenaan juga akan sentiasa bersiap siaga untuk menghadapi sebarang kemungkinan semasa PRN ini,” katanya.

Terdahulu, Timbalan Ketua Setiausaha (Perumahan dan Kesejahteraan Komuniti) Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) Suhaimi Ali@Ahmad hadir merasmikan seminar itu. - Bernama