Wartawan sambilan layak dapat perlindungan Akta 789 - Perkeso

Wartawan termasuk 'stringer' yang berstatus sambilan dengan organisasi dan syarikat media layak mendapat perlindungan SKSPS yang mana caruman kepada skim ini adalah secara sukarela.
Wartawan termasuk 'stringer' yang berstatus sambilan dengan organisasi dan syarikat media layak mendapat perlindungan SKSPS yang mana caruman kepada skim ini adalah secara sukarela.
A
A
A

SHAH ALAM - Wartawan sambilan atau ‘stringer’ negara yang bekerja di bawah ‘Contract for Service’, layak untuk mendapatkan perlindungan di bawah Akta 789.

Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dalam satu kenyataan pada Isnin berkata, kumpulan itu layak kerana agensi berkenaan telah memperkenalkan perlindungan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) untuk orang bekerja sendiri melalui Akta 789 yang berkuat kuasa mulai 1 Jun 2017.

“Contract for Service merupakan perjanjian di antara syarikat dan penyedia perkhidmatan iaitu kontraktor bebas seperti orang yang bekerja sendiri atau vendor dengan bayaran untuk melaksanakan tugasan mahupun projek.

“Para wartawan termasuk 'stringer' yang berstatus sambilan dengan organisasi dan syarikat media layak mendapat perlindungan SKSPS yang mana caruman kepada skim ini adalah secara sukarela,” kata kenyataan itu.

Pada 16 Julai, Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) akan mengadakan perbincangan dengan Perkeso dan pihak terlibat berhubung caruman untuk wartawan khususnya 'stringer' atau wartawan sambilan.

Dalam pada itu, Perkeso berkata, SKSPS memberi perlindungan kepada golongan bekerja sendiri daripada bencana pekerjaan sendiri termasuk penyakit pekerjaan dan kemalangan perjalanan sewaktu menjalankan aktiviti kerja sendiri.

Tambah kenyataan itu, skim tersebut turut menyediakan manfaat seperti faedah perubatan, hilang upaya sementara, hilang upaya kekal, orang tanggungan, pengurusan mayat, pinjaman pendidikan, elaun layanan sentiasa dan kemudahan pemulihan jasmani atau vokasional.

“Bagi memudahkan individu bekerja sendiri untuk mendapat perlindungan SKSPS, Perkeso menyediakan empat pelan mengikut pilihan masing-masing dengan caruman serendah RM157.20 setahun atau RM13.10 sebulan.

“Bukan itu sahaja, wartawan sambilan di bawah Contract for Service, mereka layak menerima insentif Belanjawan 2023 iaitu SPS Padanan Caruman bagi caruman SKSPS di bawah kategori SPS Usahawanita 2.0,” ujanya.

Perkeso berkata, menerusi SPS Padanan Caruman, kerajaan membiayai 80 peratus daripada bayaran caruman SKSPS bagi Pelan Caruman 2 iaitu sebanyak RM186.20.

Sementara itu, individu bekerja sendiri hanya perlu membayar baki sebanyak 20 peratus atau RM46.60 untuk mencukupkan bayaran Pelan 2 Caruman SKSPS bernilai RM232.80 bagi perlindungan selama 12 bulan.