Rakyat sengsara di bawah pentadbiran PN, Muhyiddin - Razeef

Razeef Rakimin
Razeef Rakimin
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Parti Keadilan Rakyat (PKR) mendakwa rakyat sengsara sepanjang 33 bulan pentadbiran Perikatan Nasional (PN) yang dipimpin oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana tidak berlaku adil.

Timbalan Ketua Penerangan PKR, Razeef Rakimin berkata, isu prosedur operasi standard (SOP) ketika Covid-19 melanda negara sahaja cukup membuktikan PN tidak adil terutama kepada rakyat.

"Isu SOP ketika Covid-19 melanda negara sahaja cukup membuktikan PN tidak adil terutama kepada rakyat sedangkan keistimewaan diberikan kepada pemimpin-pemimpin PN," ujarnya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Katanya, rakyat seharusnya khuatir dengan pelbagai gelombang yang dibawa oleh gabungan Pas dan Bersatu dalam PN kerana ia akan menyebabkan kehancuran sebuah negara Madani.

"Gelombang 'Selangor Baharu' yang cuba dibawa baru-baru ini dengan mempersenda dan menghina Sultan Selangor secara terang-terangan di pentas ceramah politik.

"Begitu juga dengan gelombang hijau yang boleh dilihat sebagai kejayaan PN dalam gerakan propaganda serta fitnah kepada Pakatan Harapan (PH) sehingga mempengaruhi segelintir rakyat.

"Amat pelik bila Muhyiddin cuba menafikan gelombang yang ditunggang beliau sebelum ini. Perkara lebih teruk akan berlaku jika PN mendapat mandat melalui pilihanraya," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Pada Sabtu, Muhyiddin mengeluarkan kenyataan kerajaan yang bakal dipimpin PN dijamin akan berlaku adil dan saksama untuk kepentingan rakyat.

Beliau berkata, orang ramai tidak perlu risau berhubung dakwaan ‘gelombang hijau’ yang dikaitkan naratif seolah-seolah pentadbiran kerajaan PN akan menyerupai pemerintahan kumpulan Taliban.