UMSC beri pengiktirafan kepada 21 doktor

UMSC memberi pengiktirafan kepada 21 orang doktor yang telah lama berkhidmat sejak penubuhan hospital pakar berkenaan.
UMSC memberi pengiktirafan kepada 21 orang doktor yang telah lama berkhidmat sejak penubuhan hospital pakar berkenaan.
A
A
A

SHAH ALAM - UM Specialist Centre (UMSC) memberi pengiktirafan kepada 21 doktor sebagai penghargaan sempena sambutan ulang tahun ke-25 tahun kecemerlangan.

UMSC dalam satu kenyataan pada Jumaat berkata, penghargaan itu merupakan simbolik kepada kejayaan pusat berkenaan merawat lebih dua juta orang sejak dari penubuhannya pada tahun 1998 di samping mengukuhkan matlamat hospital menjadi pusat rujukan serantau.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif UMSC, Norzaiton Senusi, sepanjang 25 tahun perjalanan yang cemerlang, pihaknya berbangga menjadi sebahagian daripada kejayaan pelaksanaan Kerjasama Awam Swasta (PPP) dalam negara.

“PPP ini amat penting dalam mengukuhkan sistem penjagaan kesihatan di Malaysia yang melahirkan era baru menerusi pemerkasaan akses kepada perkhidmatan berkualiti tinggi melalui penjagaan kesihatan komprehensif,” katanya.

Beritahu kenyataan itu, kecemerlangan dalam khidmat perubatan melambangkan kredibiliti serta kepercayaan yang diberikan kepada UMSC yang didokong oleh kepakaran para doktor dalam menyumbangkan perkhidmatan penjagaan kesihatan kepada komuniti.

Tambahnya lagi, berdasarkan keputusan tinjauan terkini sebanyak 95 peratus tahap kepuasan pesakit adalah berdasarkan kepakaran perubatan para doktor.

“Ini adalah selaras dengan kepakaran para perunding kesihatan UMSC yang menyediakan khidmat rawatan dalam pelbagai disiplin.

“Selain itu, mereka juga sentiasa memperkasakan kepakaran melalui penyelidikan dan pendidikan serta pendekatan berasaskan hasil dalam setiap prosedur klinikal,” ujarnya.

Pada masa sama, menerusi sambutan ulang tahun itu, UMSC turut memberikan penghargaan kepada rakan-rakan strategik atas kepercayaan mereka terhadap kepakaran yang ada.

Antara syarikat yang menerima pengiktirafan tersebut ialah AllianzLife Insurance Malaysia, Prudential BSN Takaful Berhad, Etiqa Family Takaful Berhad, Micare, Europ Assistance dan PMCare.

Kata kenyataan itu lagi, UMSC turut menerapkan komponen Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dalam strategi korporat bagi mengintegrasi perkhidmatan penjagaan serta nilai kelestarian ke arah merealisasikan visi mampan.

“Strategi ini melibatkan rangka kerja klinikal dan bukan klinikal termasuk inisiatif hijau, jaminan kualiti dan pematuhan kepada amalan tadbir urus baik serta transformasi digital,” jelasnya.