KMJG2023 bawa Jalur Gemilang lebih 3,000km

Fadillah (tiga dari kiri) melepaskan peserta konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2023 pada majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2023 di Bulatan Sultan Azlan Shah Meru Raya pada Ahad. - Foto Bernama
Fadillah (tiga dari kiri) melepaskan peserta konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2023 pada majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2023 di Bulatan Sultan Azlan Shah Meru Raya pada Ahad. - Foto Bernama
A
A
A

IPOH - Bendera kebanggaan negara, Jalur Gemilang akan dibawa menjelajah lebih 3,000 kilometer ke seluruh pelosok negara oleh Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2023 yang bermula di Ipoh pagi Ahad dan berakhir di Dataran Putrajaya pada 31 Ogos.

Konvoi berkenaan adalah sempena sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2023.

Menteri Komunikasi dan Digital yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2023, Fahmi Fadzil berkata, konvoi berkenderaan itu akan membawa Jalur Gemilang menjelajah seluruh negara menerusi "Penyerahan Jalur Gemilang".

"Konvoi akan menjelajah sejauh 3,347 kilometer ke seluruh pelosok negara, melibatkan 132 check point iaitu 66 check point di Semenanjung Malaysia dan 66 check point lagi di Sabah, Sarawak serta Labuan," katanya dalam ucapan sempena Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2023 di Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru Raya, di sini pada Ahad.

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof mewakili Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melepaskan KMJG 2023 selepas melancarkan program berkenaan.

Konvoi berkenaan yang diketuai Timbalan Ketua Pengarah (Komunikasi Strategik) Jabatan Penerangan Malaysia, Suwadi Guliling melibatkan kerjasama strategik antara jabatan dan agensi di peringkat Persekutuan dan negeri.

Sementara itu, Fahmi berkata, peserta konvoi melibatkan individu profesional antaranya arkitek, jurutera, doktor, juruterbang, pensyarah dan ahli perniagaan selain badan bukan kerajaan (NGO) iaitu Kelab Permotoran BMW K16 Malaysia.

Fadillah (tengah) bergambar kenangan bersama lukisan mural Malaysia Madani. - Foto Bernama
Fadillah (tengah) bergambar kenangan bersama lukisan mural Malaysia Madani. - Foto Bernama

Beliau berkata, orang ramai juga dialu-alukan untuk bersama-sama memeriahkan sambutan di setiap daerah bagi meraikan ketibaan konvoi berkenaan.

Menurutnya, pelbagai acara menarik turut dirancang di setiap lokasi bagi menyemarakkan lagi sambutan dan rasa cinta kepada negara seperti Program Ekspresi Malaysiaku, persembahan hiburan, pengedaran bahan dan penerbitan jabatan.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai program itu dengan melayari portal rasmi http://merdeka360.my atau menerusi laman sosial rasmi Merdeka360 di Twitter, Instagram, Facebook dan TikTok. - Bernama