Gaji penjawat awam perlu selaras dengan kadar inflasi

Tan Sri Lee Lam Thye
Tan Sri Lee Lam Thye
A
A
A

SHAH ALAM - Kenaikan gaji penjawat awam perlu diselaraskan dengan kadar inflasi dalam negara kerana ia memainkan peranan penting bagi menentukan kecukupan gaji mereka.

Cadangan itu sekali gus mencerminkan perubahan kos sara hidup untuk mengekalkan kuasa beli pekerja.

Aktivis sosial, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, penyelarasan gaji tersebut perlu seiring dengan mempertimbangkan pemberian elaun bagi penjawat awam gred rendah, seperti elaun bandar buat mereka yang bekerja di bandar-bandar utama.

“Ketika ini, beberapa kakitangan kerajaan berpangkat rendah dibayar dengan gaji pokok RM1,200 sebulan, jika dimasukkan elaun bulanan adalah kira-kira RM1,850 sebulan walaupun ia melebihi gaji minimum yang dicadangkan.

“Apabila pekerja merasa dihargai dan diberi pampasan secukupnya, mereka berkemungkinan akan lebih bermotivasi serta komited untuk menyampaikan perkhidmatan yang berkualiti tinggi,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Pada 7 Julai, Sinar Harian melaporkan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan akan mengkaji semula skim gaji perkhidmatan awam di seluruh negara dengan perbincangan mengenainya dibawa ke dalam mesyuarat Jemaah Menteri.

Lam Thye berkata, tidak dapat dinafikan bahawa skim gaji penjawat awam sememangnya patut dibangkitkan setiap tempoh lima tahun kerana kenaikan kos sara hidup memaksa pertambahan gaji dalam kalangan masyarakat.

Ujarnya, gaji tidak mencukupi boleh menimbulkan tekanan kewangan kepada mereka yang berpotensi membawa kepada rasuah dan amalan tidak beretika.

“Walau bagaimanapun, perlu ingat bahawa kenaikan gaji kakitangan awam mungkin menghadapi penelitian dan kritikan daripada orang ramai yang menuntut ketelusan, akauntabiliti serta integriti.

“Orang ramai berhak menjangkakan bahawa ketirisan dan ketidakcekapan akan berakhir seperti yang sering diketengahkan dalam laporan tahunan Ketua Audit Negara,” kata beliau.

Lam Thye menjelaskan, perancangan kewangan yang mampan juga perlu untuk memastikan kemajuan dalam jangka masa panjang tentang kenaikan gaji dan pencen.

Katanya, kerajaan perlu menilai kenaikan gaji dilaksanakan untuk jangka masa panjang dengan mengambil kira faktor seperti pertumbuhan ekonomi dan unjuran hasil dalam negara.

“Penglibatan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) juga penting dalam rundingan dan mempertimbangkan input mereka untuk mencapai persetujuan bersama di samping peranannya memperjuangkan kebajikan kakitangan kerajaan,” ujar beliau.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!