Bukan disebabkan konflik dalaman parti

Mazlan Bujang
Mazlan Bujang
A
A
A

JOHOR BAHRU - Peletakan jawatan ADUN Larkin, Mohd Izhar Ahmad sebagai Ketua Bersatu Bahagian Labis bukan disebabkan pentadbiran parti.

Pengerusi Bersatu Johor, Mazlan Bujang berkata, pemimpin itu meletakkan jawatannya sebelum kemelut dalaman parti membabitkan pemilihan Menteri Besar Johor yang baharu, baru-baru ini.

“Perletakan jawatan beliau (Mohd Izhar) sudah lama berlaku, yang mana dia telah bertemu dengan Pengerusi Bersatu negeri sebelum ini.

"Sebenarnya tiada sebarang isu pun, beliau meletakkan jawatan adalah kerana dia bukannya wakil rakyat di kawasan itu (Labis).

“Beliau hanya mahu memberikan ruang kepada ADUN Tenang, Mohd Solihan Badri selaku wakil rakyat di kawasan berkenaan, bukan disebabkan ada masalah dalam parti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Berbuka Puasa dan Sumbangan Duit Raya bersama penghuni Asrama Kebajikan Ar Rayyan di Hotel M Suites di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama, Mazlan memberitahu dirinya juga maklum mengenai khabar angin mengatakan ADUN Larkin itu juga mahu meninggalkan parti.

Bagaimanapun, katanya, sehingga kini, Mohd Izhar masih belum mengeluarkan surat rasmi untuk keluar dari Bersatu dan hanya menyatakan kepadanya secara lisan.

Artikel Berkaitan:

“Saya ada berhubung dengan beliau dan tahu mengenai hasratnya itu, beliau juga telah memaklumkam dirinya akan menangguhkan dahulu perkara tersebut.

“Saya juga akan memujuk beliau untuk bersabar, puncanya adalah sebab-sebab tertentu, saya tidak boleh dedahkan.

"Semua keputusan nanti saya juga akan berbincang dengan kepimpinan terlebih dahulu,” katanya.