Penunggang, dua pembonceng motosikal maut kemalangan di Kapit

Gambar hiasan 123RF
Gambar hiasan 123RF
A
A
A

SIBU - Seorang penunggang motosikal serta dua pemboncengnya maut di tempat kejadian apabila motosikal ditunggangi mereka terlibat dalam nahas jalan raya setelah bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Jalan Embuau Song, Kapit petang tadi.

Menurut kenyataan Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak pada Sabtu, ketiga-tiga mangsa maut iaitu Joshua Richard, 38, Jimbai Ujam, 57, dan Sempun Lau, 51 disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Kenyataan itu memaklumkan pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan itu pada jam 5.38 petang dan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Song telah digerakkan ke lokasi.

Sementara itu, jurucakap BBP Song ketika dihubungi berkata, berdasarkan maklumat diperoleh, mangsa yang sedang dalam perjalanan dari Pekan Song menuju ke arah Kapit bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda. - Bernama