Sabah belasah Sri Pahang di Likas

Antara aksi menarik Sabah menentang Sri Pahang dalam perlawanan Liga Super di Likas. - Foto: Facebook Sri Pahang FC
Antara aksi menarik Sabah menentang Sri Pahang dalam perlawanan Liga Super di Likas. - Foto: Facebook Sri Pahang FC
A
A
A

STADIUM Likas mengekalkan status sebagai kubu kuat buat Sabah FC dalam saingan Liga Super musim ini.

Kali ini giliran Sri Pahang FC menjadi pasukan kelapan yang dijinakkan Sabah, 4-0 pada Sabtu.

Hanya Terengganu FC pasukan tunggal membawa pulang satu mata dari laman keramat The Rhinos pada 19 Mei lalu.

Tiga mata diraih The Rhinos membolehkan anak buah Datuk Ong Kim Swee meraih 24 mata bagi perlawanan liga di Likas.

Dalam perlawanan itu, Darren Lok menghadiahkan dua gol pada minit kelapan dan ke-64.

Pemain import baharu Sabah, Ramon Machado de Macedo menambah koleksi gol bersama Sabah pada minit ke-42 sebelum Stuart Wilkin menutup pesta gol Sabah ke atas anak buah Fandi Ahmad pada minit ke-68.

Sebagai rekod, perlawanan ke-17 Sabah ini juga merupakan penampilan terakhir kaptennya, Baddrol Bakhtiar yang dimasukkan menggantikan Park Taesu pada minit ke-79.

Dalam satu lagi perlawanan Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Selangor FC berjaya menewaskan Penang FC, 4-0.

Anak buah Tan Cheng Hoe yang dikejutkan kekalahan 0-1 kepada Sri Pahang FC di Stadium Darul Makmur ternyata garang dalam misi memburu tiga mata.

Gol Selangor dijaringkan Noor Al-Deen Mahmoud Ali Al Rawabdeh (29'), Richmond Boakye-Yiadom (59') dan Faisal Halim (78')

Tiga mata diraih Selangor membolehkan The Red Giants mengumpul 37 mata - tiga mata mengatasi Kedah Darul Aman FC di tangga ketiga (34 mata) selepas mengharungi 17 perlawanan.