Noktah kemiskinan tegar tidak hanya tertumpu satu kaum sahaja

Anwar - Foto: Bernama
Anwar - Foto: Bernama
A
A
A

SUNGAI PETANI - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, usaha kerajaan untuk menoktahkan kemiskinan tegar seperti yang ditetapkan tahun ini sama sekali tidak tertumpu kepada satu kaum sahaja sebaliknya meliputi semua yang ada di negara ini.

Anwar sedar ada pihak yang mendakwa beliau melindungi kepentingan satu kaum sahaja namun berkata, pendirian Kerajaan Perpaduan adalah jelas iaitu memastikan semua yang ada di negara ini mendapat hak masing-masing berpandukan Perlembagaan Persekutuan.

"Jangan tanya saya berapa peruntukan untuk kaum Melayu, kaum India, saya tidak peduli, ada sahaja jumlah, ada nama kita sahkan, kita tolong. Siapa yang miskin tegar, kita tolong. Kita tolong rakyat susah tak kira kaum,” katanya ketika berucap pada majlis ramah mesra bersama masyarakat India Kedah pada malam Sabtu.

Turut hadir Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Saraswathy Kandasami serta Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Mohammed Taufiq Johari.

Perdana Menteri, yang mempunyai jadual padat di Kedah berkata, sejak dulu beliau perlu melawan kelompok perkauman sempit sesetengah pihak.

Anwar berkata, beliau sangat menghargai sokongan yang diberikan oleh masyarakat India selama ini dan meminta mereka memberikan sokongan kepada Kerajaan Perpaduan bagi memastikan segala pembangunan yang dirancang dapat direalisasi.

"Saya sendiri mahu melihat masyarakat India, khususnya yang tinggal di estet, keluar daripada kepompong kemiskinan.

"Saya nak pesan kepada masyarakat India di Kedah, buat keputusan yang baik, biar ada hubungan baik antara negeri dan Kerajaan Persekutuan, kita guna kuasa yang ada ini untuk bantu rakyat kita,” katanya.

Pada majlis itu, Anwar turut menyampaikan penghargaan kepada pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia sekitar Sungai Petani dan menerima memorandum masyarakat India Kedah berhubung isu ekonomi, sosial serta pendidikan. - Bernama