Pekin Ibrahim hanya duta, bukan pemilik Toyota GR Yaris Kansai

Pekin (kiri) bersama pemilik Kansai Service (tengah) dan Haris (Pengarah Urusan D One Motorsports).
Pekin (kiri) bersama pemilik Kansai Service (tengah) dan Haris (Pengarah Urusan D One Motorsports).
A
A
A

NAMA Pekin Ibrahim kembali menjadi perhatian setelah D One Motorsports Sdn Bhd mendedahkan kereta Toyota GR Yaris Kansai D1 Edition yang kemalangan baru-baru ini bukan milik pelakon itu.

Kereta berkenaan didaftarkan atas nama Asnina Muhammad yang juga pengarah di D One Motorsports.

"Pekin Ibrahim ialah duta untuk membuat promosi di media sosial bagi D One Motorsports Sdn Bhd bermula Mei 2023 sehingga tempoh yang telah dipersetujui.

"Segala kos daripada proses pembelian kenderaan, servis di Kansai Service dan pembiayaan duta ke Jepun ditanggung oleh pihak kami," ujarnya dalam satu kenyataan.

Tidak berdiam diri, Pekin menerusi sebuah video yang dimuat naik menerusi saluran YouTube miliknya mengakui apa yang diperkatakan oleh syarikat jual beli kereta itu.

Tular di media sosial mengenai kemalangan sebuah kereta Toyota GR Yaris Kansai yang dikatakan milik Pekin.
Tular di media sosial mengenai kemalangan sebuah kereta Toyota GR Yaris Kansai yang dikatakan milik Pekin.

"Saya banyak terima panggilan dan mesej mengenai kereta itu, baca komen macam-macam di media sosial, ada betul ada tak.

"Betul kereta ini nama isteri abang Haris (Pengarah Urusan D One Motorsports, Mohammad Haris Saidin) dan kereta itu adalah projek D One serta ia adalah kereta demo untuk ditunjukkan kepada pelanggan mereka," kata Pekin.

Mengikuti perjalanan pembikinan kereta itu dari awal, pemilik nama sebenar Mohd Iznan Ibrahim kemudiannya 'jatuh hati' dan berminat membeli kereta berkenaan dari D One Motorsports itu.

"Abang Haris ada beritahu mungkin nak jual kereta ini dan sebabkan dah ikut pembikinan kereta itu dari awal, saya berminat nak beli. Kami sepatutnya berbincang mengenai hal ini pada 17 hari bulan ini, tetapi nampak tidak ada rezeki.

"Saya tak nak mengganggu banyak pihak, bimbang salah faham. Biar pihak yang sepatutnya buat kerja. Mana yang tak tahu cerita sebenar, boleh tonton saluran YouTube saya. Perjalanan GR Yaris dari awal ada di situ," jelasnya.

Terdahulu, tular di media sosial mengenai kemalangan sebuah kereta Toyota GR Yaris Kansai yang dikatakan milik Pekin, 42, yang ketika itu baru seminggu tiba di Malaysia dari Jepun.

Tidak lama kemudian, Pekin menjelaskan bukan dia yang memandu kereta berkenaan ketika kejadian, sebaliknya ia dipandu rakan, Amirul.