‘Kempen secara matang, henti politik hinaan’ - Pejuang

Muhammad Rafique
Muhammad Rafique
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) menggesa semua parti politik untuk berkempen secara matang dan menghentikan politik hinaan menjelang pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi.

Ketua Penerangan Pejuang, Muhammad Rafique Rashid Ali berkata, tindakan hinaan, makian, cacian dan cerca perkauman semakin parah dalam kalangan pemimpin politik.

Menurutnya, sebarang bentuk ucapan di pentas ceramah dan media sosial yang merendahkan martabat atau status membabitkan kaum atau agama yang dianuti oleh mana-mana individu perlu dielakkan.

“Hak berdemokrasi dan berkempen bukannya hak mutlak untuk mengutuk serta menggunakan kata-kata yang kurang enak serta berbaur perkauman.

“Bahasa melambangkan bangsa. Agama Islam dan agama lain sentiasa mengajar penganutnya untuk menggunakan serta bercakap dalam bahasa yang elok, molek dan merendah diri,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook pada Sabtu.

Dalam pada itu, beliau juga mengingatkan semua pihak untuk sentiasa menghormati batas undang-undang agar maruah bangsa serta agama terpelihara.

Tambah beliau, siasatan pihak berkuasa juga perlu menumpukan kepada fakta aduan atau kes tanpa menyebelahi mana-mana pihak.

“Janganlah hanya kerana aduan ini dari pihak dalam kerajaan, ia akan mendapat kelebihan berbanding aduan terhadap pihak dalam kerajaan.

“Berkempen secara matang, kerana rakyat berhak melihat kematangan kita semua,” katanya.

Selain itu, katanya, Pejuang akan mengamalkan politik sihat dan sentiasa berpegang pada prinsip menghormati hak kaum dan bangsa lain berlandaskan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.