JDT terus unggul, pecah rekod Liga Super

Esteban Solari
Esteban Solari
A
A
A

JOHOR Darul Ta'zim (JDT) berada dalam kelasnya tersendiri apabila melakar rekod baharu Liga Super dengan menjaringkan 64 gol dalam 17 perlawanan setakat ini.

Berbanding musim lalu, JDT meledak 61 jaringan sepanjang 22 perlawanan dan untuk 2023, lebih manis kejayaan itu hadir dengan rekod bersih iaitu menang dalam 17 perlawanan berturut-turut.

Bukan itu sahaja, setakat ini benteng pertahanan JDT terlalu 'ampuh' apabila sekadar melepaskan tiga jaringan sahaja.

Pengendalinya, Esteban Solari meluahkan rasa gembira dengan kejayaan itu dan menyifatkan JDT berhak selepas barisan pemain memberikan aksi terbaik dalam setiap perlawanan.

"Mereka (pemain) sentiasa mahu meningkatkan prestasi. Ia tidak akan terhenti di sini dan mereka akan terus memecahkan rekod.

"Hal ini kerana sentiasa mahu beraksi pada tahap terbaik," katanya semasa sidang akhbar selepas perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini.

Pada perlawanan itu, JDT meraih kemenangan mudah dengan menewaskan Kelantan FC 5-0.

Mengulas perlawanan menentang Kelantan FC, Solari menyifatkan keputusan itu yang adil bagi kedua-dua pasukan.

"Berbanding perlawanan menentang Negeri Sembilan FC, saya lebih berpuas hati dengan kemenangan ini. Kami turun dengan mentaliti yang betul.

"Pemain-pemain juga berada dalam kondisi terbaik dan pasukan berada dalam mood yang bagus. Mengenai kesilapan-kesilapan dilakukan oleh pemain, ia merupakan sebahagian daripada penambahbaikan," katanya.