80 peratus hasil, perbelanjaan Kedah daripada Kulim Hi-Tech

Rafizi
Rafizi
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli mendakwa 80 peratus hasil negeri Kedah termasuk gaji serta perbelanjaan kerajaan Pas datang daripada kawasan perindustrian dan pembandaran sekitar Kulim Hi-Tech.

Rafizi berkata, bagaimanapun Perikatan Nasional (PN) tidak pernah mendedahkan hasil-hasil yang kini dinikmati oleh Kedah seperti Kulim Hi-Tech berpunca daripada usaha Kerajaan Persekutuan.

Katanya, mereka selama ini hanya menyebarkan berita yang kononnya Kerajaan Persekutuan menghukum dan 'menganaktirikan' Kedah.

"PN kena ingat, Kulim Hi-Tech tidak muncul secara tiba-tiba. Ia memerlukan perancangan dan penelitian beberapa bulan dan tahun sebelum dibangunkan.

"Itulah tugas Kerajaan Persekutuan, untuk mengkaji dan mengenal pasti penyelesaian mendalam yang mampu membawa kemajuan kepada negeri secara jangka panjang," katanya menerusi Twitter pada Jumaat.

Tambah Rafizi, Kedah merupakan negeri kelima termiskin di Malaysia dan mempunyai jurang perbezaan pendapatan yang sangat besar antara pedalaman dan bandar.

"Ini kerana pendapatan dan hasil Kedah bergantung kepada beberapa punca sahaja. Buat apa Kerajaan Persekutuan nak mengetepikan Kedah? Dalam demokrasi, logiknya mudah iaitu kita buat baik untuk rakyat agar mereka terus memberi sokongan kepada kita.

"Jadi buat masa sekarang, saya fikir lagi baik PN ambil masa fikir dan terang kepada rakyat apa tawaran dan idea mereka untuk bantu rakyat daripada ulang benda yang sama setiap hari," jelasnya.