Elaun RM800 untuk pelajar industri di GLC

Anwar ketika berucap pada Majlis Libat Urus Belanjawan 2024 di Kementerian Kewangan pada Jumaat. - Foto Bernama
Anwar ketika berucap pada Majlis Libat Urus Belanjawan 2024 di Kementerian Kewangan pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Semua pelajar yang menjalani latihan industri di syarikat berkaitan kerajaan (GLC) akan menerima elaun perantisan minimum RM800 sebulan.

Menerusi ucap tama sesi libat urus Belanjawan 2024, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu bagi mengurangkan beban ditanggung pelajar yang tidak mempunyai sumber pendapatan selain bergantung sepenuhnya kepada ibu bapa.

"Ini melibatkan semua pelajar di GLC," katanya di Perbendaharaan Malaysia pada Jumaat.

Menurutnya, syarikat swasta juga diseru agar mempertimbangkan langkah sama terhadap pelajar latihan industri.

"Kalau datang dari keluarga miskin, sudahlah baru habis belajar, tiada lagi pinjaman atau dana Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN)," ujar beliau.

Sementara itu, pada sidang akhbar Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, pemberian elaun itu hasil daripada libat urus bersama pelajar.

"Mereka menekankan bahawa elaun ini untuk pengangkutan, makan dan minum selain penginapan," ujarnya.

Ahmad berkata, pelaksanaan inisiatif itu tidak memberi impak besar kepada GLC.

"Walaupun saya tiada bilangan (pelatih industri) di GLC, impaknya hanya minimum kerana tidak mempunyai ramai pelatih industri," katanya.

Sebelum ini Kementerian Sumber Manusia (KSM) dilapor akan meneliti isu bayaran atau elaun kepada pelatih industri yang didakwa terlalu rendah, malah ada syarikat tidak memberikan elaun langsung.

Perkara tersebut perlu diberikan perhatian serius kerana sudah dibangkitkan dalam International Labour Conference (ILC) supaya ia memberi pertimbangan sewajarnya di seluruh dunia.

Setakat sekarang tiada akta mewajibkan bayaran kepada pelatih industri di negara ini.