UTM hasilkan alat pengesan gempa bumi

Mohd Nur Asmawisham menunjukkan alat pengesan gempa bumi dinamakan 'Wireless Accelerometer’ yang dihasilkan Fakulti Kejuruteraan Awam UTM.
Mohd Nur Asmawisham menunjukkan alat pengesan gempa bumi dinamakan 'Wireless Accelerometer’ yang dihasilkan Fakulti Kejuruteraan Awam UTM.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Universiti Teknologi Malaysia (UTM) membangunkan alat pengesan gempa bumi dinamakan sebagai 'Wireless Accelerometer’ yang akan dipasang pada bangunan di kawasan berisiko berlaku bencana alam tersebut.

UTM dalam satu kenyataan memberitahu, alat itu dibangunkan sekumpulan penyelidik dari Kumpulan Penyelidikan Kejuruteraan Seismologi dan Kejuruteraan Gempa Bumi (eSEER), Fakulti Kejuruteraan Awam UTM diketuai Ts Dr Mohd Nur Asmawisham Alel.

"Tujuan penciptaan 'Wireless Accelerometer' ini bagi mengesan kehadiran fenomena gempa bumi dan bertindak mengeluarkan bunyi siren amaran kepada penghuni dipasang pada struktur bangunan bagi gegaran supaya penghuninya keluar menyelamatkan diri.

"Alat ini juga dibangunkan untuk menghantar mesej kepada semua agensi berkaitan seperti Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APAM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan juga Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bagi membolehkan agensi tersebut menggerakkan kekuatan masing-masing ke lokasi kejadian.

"Ini bagi mengelakkan pembaziran waktu dan sumber di mana pasukan penyelamat terpaksa mencari dan menyelamat di serata tempat tanpa mengetahui di mana punca berlaku gegaran yang sebenarnya," menurut kenyataan itu pada Jumaat.

UTM menjelaskan, alat berkenaan dibangunkan dengan menggunakan tenaga solar sebagai tenaga utamanya bagi menggantikan bateri dan juga tenaga elektrik konvensional yang terputus ketika gempa bumi.

"Boleh berfungsi untuk terus menghantar data kepada agensi berkaitan untuk kerja-kerja menyelamat dan analisis data," kata kenyataan itu.

Tambah UTM, alat tersebut dibangunkan dalam sejenis kotak diperbuat daripada logam yang juga berfungsi sebagai pelindung daripada kerosakan akibat gegaran gempa bumi.