LBS diiktiraf Syarikat Pengurusan Terbaik Malaysia untuk kali kedua

A
A
A

Pengarah Urusan & Ketua Pegawai Eksekutif LBS, Datuk Wira Joey Lim Hock Guan, (kiri) menerima Anugerah ‘Deloitte Syarikat Pengurusan Terbaik Malaysia 2023’ daripada Ketua Pegawai Eksekutif Deloitte Malaysia, Yee Wing Peng (dua dari kiri) disaksikan oleh Ketua Program Pengurusan Syarikat Terbaik SEA, Michael Tsia (kanan) dan Pengerusi Taliworks Corporation Berhad, YAM Tunku Ali Redhauddin (dua dari kanan).
Pengarah Urusan & Ketua Pegawai Eksekutif LBS, Datuk Wira Joey Lim Hock Guan, (kiri) menerima Anugerah ‘Deloitte Syarikat Pengurusan Terbaik Malaysia 2023’ daripada Ketua Pegawai Eksekutif Deloitte Malaysia, Yee Wing Peng (dua dari kiri) disaksikan oleh Ketua Program Pengurusan Syarikat Terbaik SEA, Michael Tsia (kanan) dan Pengerusi Taliworks Corporation Berhad, YAM Tunku Ali Redhauddin (dua dari kanan).

SHAH ALAM - Pemaju perumahan terkemuka, LBS Bina Group Berhad (LBS) melakar kejayaan apabila terpilih untuk menerima Anugerah Syarikat Pengurusan Terbaik 2023 dari Deloitte iaitu firma perunding global terkenal.

Anugerah Syarikat Pengurusan Terbaik Deloitte merupakan sebuah program anugerah perniagaan yang berprestij dan telah dianjurkan di lebih 37 buah negara sejak 1993.

Ia mengiktiraf syarikat tempatan milik persendirian (termasuk entiti yang tersenarai dengan saham majoriti yang dipegang secara persendirian) di atas kecemerlangan organisasi dan sumbangan mereka kepada ekonomi.

Diadili oleh panel perniagaan dan wakil akademik, LBS telah dipilih kerana menghadapi halangan secara konsisten dengan mencipta penyelesaian yang inovatif dan mengutamakan pelanggan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan LBS, Datuk Wira Joey Lim Hock Guan, berkata, pihaknya berbesar hati untuk sekali lagi dinobatkan sebagai salah satu daripada pemenang Syarikat Pengurusan Terbaik Malaysia 2023 oleh Deloitte.

“Anugerah ini merupakan penghargaan terhadap usaha dan dedikasi hampir 500 kakitangan LBS di samping penerapan budaya kerja dinamik serta perlaksanaan perancangan strategik.

“Adalah sesuatu yang amat mengujakan untuk menyaksikan pengiktirafan terhadap komitmen dan perkembangan LBS di sepanjang tahun. Menerima anugerah ini bagi tahun kedua menunjukkan usaha dan komitmen LBS yang berterusan sebagai satu pasukan kepada pemilik rumah, komuniti dan negara. Saya sangat berbangga dengan pasukan LBS,”katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif LBS, Datuk Cynthia Lim, berkata, menekankan komitmen teguh syarikat terhadap kelestarian dan inovasi

“LBS telah melabur RM60 juta untuk mewujudkan Sistem Binaan Berindustri (IBS). Pendekatan perintis ini menyelaraskan pembinaan dengan penghasilan panel konkrit pratuang dalam tetapan kilang terkawal dan pemasangan di tapak pembinaan dengan kerja tambahan minimum.

“Pelaksanaan IBS telah mengurangkan masa pembinaan, meminimumkan pembaziran bahan, penyelesaian isu buruh, pengurangan kesan alam sekitar dan meningkatkan kualiti keseluruhan.

“Bermula pada 2018 dengan perasmian kilang mudah alih di LBS Alam Perdana, diikuti dengan pembukaan kilang utama di Nilai pada Mac 2019, pelaburan ini menekankan dedikasi teguh LBS terhadap amalan mampan dan inovatif,”katanya.

Menurutnya, sebagai pemaju rakyat, misi LBS adalah untuk membina rumah mampu milik dan berkualiti tinggi.

“Walaupun menghadapi cabaran Covid-19, termasuk gangguan rantaian bekalan, peningkatan kos bahan mentah dan kekurangan buruh, LBS bertindak pantas dengan melaksanakan amalan mampan dan mengoptimumkan kecekapan operasi.

“Ini melibatkan strategi perniagaan yang inovatif, perkongsian strategik, inisiatif pendigitalan, pelaburan pengurusan bakat, dan keutamaan pengalaman pelanggan dan kualiti produk.

“Usaha ini memperoleh pengiktirafan LBS, dan tersenarai di Bursa FTSE4Good pada 2022 sekaligus menunjukkan komitmen syarikat terhadap piawaian alam sekitar, sosial dan tadbir urus yang mantap,”katanya.

Melangkah ke hadapan, LBS akan terus memanfaatkan pelaburan komuniti untuk mencipta masa depan yang terjamin dan mampan. Dengan itu, LBS merancang untuk terus memupuk budaya korporat yang positif, merangkumi kepelbagaian dan komprehensif.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!