Boon Chye dilantik pengerusi baharu Bioeconomy Corporation

Dr Lee Boon Chye
Dr Lee Boon Chye
A
A
A

SHAH ALAM - Malaysian Bioeconomy Development Corporation (Bioeconomy Corporation) mengumumkan pelantikan bekas Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif Lembaga Pengarah yang baharu pada 11 Julai 2023.

Agensi tersebut dalam satu kenyataan memaklumkan, pelantikan itu dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi menggantikan posisi Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid yang bersara pada 16 Disember 2022.

“Boon Chye membawa bersamanya pengalaman yang luas terutamanya dalam sektor perubatan, kini merupakan pakar perunding residen dan pakar kardiologi di Hospital Pakar KPJ Ipoh.

‘Pernah berkhidmat sebagai Timbalan Menteri Kesihatan dari 2018 hingga 2020 dan tiga penggal sebagai Ahli Parlimen Gopeng dari 2008 hingga 2012.

“Beliau juga merupakan bekas Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan, Sains dan Inovasi di Parlimen,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Bioeconomy Corporation merupakan agensi pembangunan ekonomi utama bagi industri bioteknologi dan berasaskan bio di Malaysia.

Ditubuhkan pada 2005, agensi tersebut berada di bawah bidang kuasa Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta merupakan syarikat milik menteri kewangan diperbadankan dan Pesuruhjaya Tanah Persekutuan.

Mengulas lanjut pihaknya berkata, selain kedudukan Boon Chye sebagai ahli lembaga pengarah di beberapa syarikat swasta, beliau juga memainkan peranan penting sebagai pengarah dalam Majlis Pelancongan Penjagaan Kesihatan Malaysia.

Tambahnya, dengan kepakaran dan kepimpinannya, organisasi itu bakal mengukuhkan komitmen beliau untuk memajukan bioteknologi dan industri berasaskan bio yang dilihat mampu mengharmonikan pertumbuhan ekonomi, kesejahteraan sosial dan kelestarian alam sekitar di Malaysia.