Bentang depan dinding rahsia kejayaan pelajar cemerlang STPM

Nur Shahira ketika ditemui selepas ketika ditemui pemberita selepas hadir menerima sijil pelajar cemerlang pada majlis Pengumuman Keputusan Peperiksaan STPM Tahun 2022 di Kolej Tingkatan Enam Kota Kinabalu.
Nur Shahira ketika ditemui selepas ketika ditemui pemberita selepas hadir menerima sijil pelajar cemerlang pada majlis Pengumuman Keputusan Peperiksaan STPM Tahun 2022 di Kolej Tingkatan Enam Kota Kinabalu.
A
A
A
KOTA KINABALU - Membuat pembentangan di hadapan dinding dan bercakap bersendirian antara kaedah hafalan yang dipraktikkan pelajar cemerlang Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2022 di Sabah.

Nur Shahira Kassim, 20, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Panglima Abdullah, Semporna berkata, kaedah hafalan yang digunakan itu sangat berkesan dan ia dapat dibuktikan melalui keputusan cemerlang yang diperolehnya.

"Cara saya belajar membentangkan pada dinding dan saya bercakap sendiri selain membaca sambil berjalan sebab kalau saya duduk diam saja, saya tidak boleh fokus.

"Saya tidak mempunyai kumpulan belajar dan lebih selesa belajar bersendirian," katanya ketika ditemui selepas menerima sijil pelajar cemerlang pada majlis Pengumuman Keputusan Peperiksaan STPM Tahun 2022 di Kolej Tingkatan Enam Kota Kinabalu pada Khamis.

Menurut Nur Shahira, keputusan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.00 yang diperolehnya itu mungkin akan membuka ruang untuknya melanjutkan pengajian di menara gading.



"Saya bercita-cita mahu menjadi seorang akauntan dan berhasrat melanjutkan pengajian di Universiti Malaysia Sabah (UMS) dalam bidang akaun," kata anak guru Matematik itu.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Sektor Perancangan dan Pengurusan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS), Mohd Zaini Yanin berkata, sebanyak 59 daripada 102 sekolah di seluruh Sabah mencapai kelulusan 100 peratus dalam peperiksaan STPM 2022.

Katanya, bagi bilangan calon yang mendaftar menduduki peperiksaan STPM pada 2022 adalah seramai 7,618 calon.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 91.90 peratus atau 7,001 calon telah hadir untuk menduduki peperiksaan pada ketiga-tiga semester STPM 2022.

"PNGK bagi negeri Sabah ialah 2.72 iaitu meningkat sebanyak 0.01 mata berbanding tahun 2021 iaitu 2.71.

"Dari segi sekolah pula yang mencapai kelulusan 100 peratus terbahagi kepada tiga kategori berdasarkan bilangan calon yang menduduki peperiksaan STPM pada 2022 dan sebanyak 59 sekolah mencapai kelulusan 100 peratus," katanya.

Katanya lagi, dari segi pencapaian individu terdapat seramai 75 pelajar berjaya memperoleh PNGK 4.00 berbanding 60 orang pada tahun sebelumnya.

"Ini menunjukkan berlaku peningkatan seramai 15 pelajar yang mendapat keputusan 4.00 di seluruh Sabah," katanya.