PM lancar jentera pilihan raya BN-PH Kedah pada Sabtu

Mahdzir (kanan) dan Mahfuz pada sidang akhbar di Alor Setar.
Mahdzir (kanan) dan Mahfuz pada sidang akhbar di Alor Setar.
A
A
A

ALOR SETAR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan melancarkan jentera pilihan raya Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) Kedah di Padang Awam Guar Chempedak pada Sabtu.

Pengerusi BN Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, himpunan jentera parti dan penyokong BN-PH itu merupakan sebahagian program sempena lawatan rasmi sehari Perdana Menteri ke Kedah.

Menurutnya, turut dijadual hadir ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta pemimpin tertinggi parti komponen Kerajaan Perpaduan.

“Kita akan kumpulkan semua jentera pilihan raya PH dan BN di Kedah. Kita juga telah menyusun di peringkat jawatankuasa untuk bawa penyokong kedua-dua gabungan untuk bersama dalam program gerak kerja pilihan raya pada 9 malam.

"Acara lain termasuk pentas orang muda pada sebelah petang,” katanya dalam sidang akhbar bersama Pengerusi PH Kedah, Datuk Mahfuz Omar di sini pada Khamis.

Mahdzir berkata, siri kempen jelajah akan diteruskan di semua 36 Dewan Undangan Negeri (DUN) selepas Perdana Menteri melancarkan secara serentak.

“Siri jelajah perpaduan ini merupakan negeri kedua, selepas Selangor,” jelasnya.

Sementara Mahfuz memaklumkan, dua lagi program termasuk Sentuhan Madani peringkat negeri Kedah bersama pesawah, nelayan, penoreh dan pekebun kecil di Ampang Jajar, Alor Setar.

“Himpunan bersejarah ini seakan mengulangi perhimpunan yang pernah diadakan sewaktu Anwar menjadi Menteri Pertanian satu ketika dahulu. Saya harap pesawah, nelayan, penoreh dan pekebun kecil ambil peluang ini untuk dengar amanat selain menyuarakan permasalahan untuk ditangani bagi meningkatkan kehidupan,” katanya.

Menurutnya, Karnival Usahawan Desa pula diadakan di Sungai Petani pada 12.30 tengah hari, dengan menghimpunkan usahawan Kedah.

“Kita mahu semarakkan lagi peranan usahawan dengan menggerakkan mereka sebagai salah satu enjin ekonomi negara walaupun daripada kumpulan desa mahupun perniagaan kecil,” ujarnya lagi.