Fitnah PM: Setiausaha politik Anwar buat laporan polis

 Ahmad Farhan Fauzi menunjukkan salinan laporan polis yang dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya pada Khamis.
Ahmad Farhan Fauzi menunjukkan salinan laporan polis yang dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya pada Khamis.
A
A
A

PUTRAJAYA - Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Ahmad Farhan Fauzi pada Khamis membuat laporan polis terhadap tiga individu kerana menganggap ketiga-tiga individu berkenaan telah mengeluarkan dan menyebar beberapa kenyataan palsu dan bersifat memfitnah terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Individu berkenaan adalah aktivis politik Badrul Hisham Shaharin atau dikenali sebagai Che'gu Bard, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan dan Raggie Jessy Rithaudeen.

Bercakap kepada media selepas membuat laporan polis itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya di sini pada Khamis, Ahmad Farhan berkata, laporan polis berkenaan adalah berhubung kenyataan media Che'gu Bard dan ucapan Wan Saiful dalam satu ceramah di Kedah baru-baru ini mengenai kediaman peribadi dan kenderaan yang digunakan Anwar yang didakwa milik seorang ahli perniagaan.

"Kesemua kenyataan itu adalah tidak berasas, berniat jahat dan bermotifkan politik,” katanya yang turut ditemani peguam Anwar, Datuk S Sankara Narayanan Nair.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkenaan dan pihaknya akan menjalankan siasatan.

Sementara itu, Sankara Narayanan Nair berkata, pihaknya mempunyai bukti dan dokumen berkaitan perjanjian pajakan kediaman Anwar di Sungai Long, Kajang, namun ia tidak boleh didedahkan kepada umum.

"Hartanah yang didiaminya adalah termaktub dalam perjanjian pajakan olehnya selama 10 tahun, ditandatangani pada tahun 2020, lama sebelum beliau menjadi Perdana Menteri.

"Pajakan itu dibayar dengan sewajarnya, tiada pertikaian mengenai siapa yang memiliknya," katanya. - Bernama