Bah Mail masih belum ditemui

SAR hari ketiga masih belum menemui warga emas tersebut.Gambar kecil: Bah Mail
SAR hari ketiga masih belum menemui warga emas tersebut.Gambar kecil: Bah Mail
A
A
A

LIPIS - Operasi mencari dan menyelamat (SAR) warga emas Orang Asli di Rancangan Penempatan Semula (RPS) Betau di sini pada hari ketiga melibatkan penambahan jarak pencarian kepada 10 kilometer (km) dari lokasi mangsa dilaporkan hilang pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintenden Azli Mohd Noor memberitahu, mangsa yang dikenali sebagai Bah Mail Pak Gendet, 76, masih belum ditemui selepas SAR ditangguhkan jam 5.30 petang pada Rabu.

Menurutnya, seramai 85 orang terlibat dalam SAR tersebut terdiri daripada anggota polis, bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan penduduk kampung.

"Skop pencarian lebih kepada berjalan kaki di kawasan hutan mangsa disyaki masuk untuk mencari kayu membuat rumah dalam radius 20km.

"(Seramai) 20 penduduk kampung juga membuat pencarian melalui jalan Sungai Jelai kecil meliputi kawasan pesisir sungai dan berjalan kaki masuk kawasan lokasi kejadian," kata beliau dalam kenyataan pada Rabu.

Taklimat sebelum SAR dimulakan pada anggota terlibat.- Foto ihsan PDRM
Taklimat sebelum SAR dimulakan pada anggota terlibat.- Foto ihsan PDRM

Ujar beliau, sehingga jam 3 petang Rabu, tiada kesan dan petunjuk mangsa hilang.

"SAR ditangguhkan pada jam 5.30 petang kerana keadaan cuaca gelap dan akan disambung esok hari (Khamis)," tambah Azli.

Sebelum ini, warga emas yang menghidap penyakit darah tinggi itu dipercayai keluar rumah kira-kira jam 8 pagi dan tidak balik ke rumah selepas keluar pada hari kejadian.