Pelajar Malaysia peroleh skor tertinggi dalam Program Diploma IB

Gerard Ong (tengah) memperoleh pencapaian luar biasa dengan markah 45 mata dalam Program Diploma IB 2023. - Foto Bernama
Gerard Ong (tengah) memperoleh pencapaian luar biasa dengan markah 45 mata dalam Program Diploma IB 2023. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Gerard Ong, pelajar Malaysia dari Nexus International School Malaysia, memperoleh pencapaian luar biasa dengan markah 45 mata dalam Program Diploma International Baccalaureate (IB) 2023.

Pencapaian cemerlang ini menempatkan Gerard dalam kumpulan elit dengan hanya 179 pelajar di seluruh dunia yang mencapai keputusan cemerlang itu pada tahun ini.

Gerard menyifatkan pencapaiannya sebagai suatu pengalaman yang nyata dan tidak dijangka, mengaitkan kejayaannya dengan ketabahan dan kerja kerasnya sejak dua tahun lalu.

"Di Nexus, saya juga dapat memanfaatkan pelbagai peluang kokurikulum yang melengkapkan lagi pengajian akademik saya.

"Saya percaya pendidikan holistik seperti itu memberikan keseimbangan kerja-kehidupan yang baik, yang akhirnya, kunci kepada kejayaan saya," katanya dalam satu kenyataan yang disediakan oleh Nexus International School Malaysia, sambil mengakui turut mendapat sokongan daripada keluarga, rakan, dan guru sepanjang menuntut di situ.

Gerard berkata, dia telah memutuskan untuk meneruskan pengajian di King's College London, Universiti London, yang terkenal dengan program berprestij yang ditawarkan, sambil menambah bahawa dia telah memilih untuk mempelajari Perhubungan Antarabangsa sebagai bidang pengkhususannya.

Pelajar yang berasal dari Petaling Jaya, Selangor itu telah memperoleh enam tawaran universiti dan sembilan biasiswa berjumlah lebih AS$360,000 daripada institusi berprestij di Amerika Syarikat, Kanada dan United Kingdom.

Semasa berada dalam Program IB, Gerard turut terlibat secara aktif dalam pelbagai program, sukan, khidmat masyarakat, dan memegang jawatan kepimpinan dalam Kesatuan Pelajar dan Model Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. - Bernama