Pindaan peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat bukan pecat PM

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar pada Rabu menegaskan saranannya untuk pindaan kepada Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat (Standing Orders) Dewan Rakyat bukanlah mengenai penggubalan undang-undang baharu untuk pemecatan Perdana Menteri seperti yang dilaporkan beberapa media sebelum ini.

Sebaliknya beliau berkata, saranan itu adalah bagi menggubal peraturan baharu di Dewan Rakyat untuk memberi ruang masa perbahasan Usul Tidak Percaya dan Usul Mengemukakan Pendakwaan atau Pertuduhan (Impeachment) oleh Ahli Parlimen tanpa melalui proses yang rumit dan panjang.

"Proses sedia ada untuk cadangan perbahasan usul di Dewan Rakyat bagi selain Rang Undang-undang Kerajaan adalah melalui notis 14 hari atau lebih dan proses ini harus ditambah baik agar usul-usul lain selain rang undang-undang kerajaan yang menepati syarat perbahasan dan Peraturan Majlis Mesyuarat ini mendapat keutamaan ruang masa dan dibincangkan secara komprehensif oleh Ahli Parlimen.

"Ini adalah bertepatan dengan komitmen saya kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) bahawa saya akan menjalankan beberapa penambahbaikan dan pembaharuan proses tatakerja di Parlimen di dalam memegang jawatan sebagai Yang Dipertua Dewan Negara,” katanya dalam kenyataan.

Wan Junaidi berkata sebagai contoh, beliau juga ingin memperkenalkan semula Akta Perkhidmatan Parlimen yang akan membantu pentadbiran dan pengurusan di Parlimen secara amnya.

"Ingin saya tegaskan di sini bahawa cadangan dan saranan penambahbaikan dan pembaharuan ini akan dibincangkan bersama Yang Dipertua Dewan Rakyat di Mesyuarat Jawatankuasa Bersama untuk pembaharuan Parlimen yang bakal diadakan dalam masa yang terdekat,” katanya. - Bernama