Kurang 2 minggu kutipan Avengers: Endgame cecah lebih AS$2b

Filem Avengers: Endgame melepasi kutipan AS$2 bilion (RM8.30 bilion) dalam masa kurang dua minggu. - Foto BGR.com
Filem Avengers: Endgame melepasi kutipan AS$2 bilion (RM8.30 bilion) dalam masa kurang dua minggu. - Foto BGR.com
A
A
A

LOS ANGELES - AMERIKA SYARIKAT . Filem Avengers:Endgame meneruskan dominasi global dalam carta box office apabila berjaya melepasi kutipan AS$2 bilion (RM8.30 bilion) dalam masa kurang dua minggu sekali gus mengatasi filem Titanic sebagai filem kedua dengan kutipan tertinggi di seluruh dunia.

Walt Disney Co. menganggarkan Avengers:Endgame menambah AS$145.8 juta (RM601 juta) dari pawagam di Amerika Utara dan AS$282.2 juta (RM1.17 bilion) di peringkat antarabangsa, menjadikan jumlah keseluruhan kutipan global sebanyak AS$2.2 bilion (RM9.13 bilion).

Filem tersebut merupakan salah satu dari lima filem yang pernah mencapai kejayaan seperti itu dan ia kini berada di belakang filem Avatar yang berada di tempat pertama dengan kutipan sebanyak AS$$2.8 bilion (RM11.6 bilion).

Avatar yang ditayangkan pada tahun 2009, melepasi paras AS$2 bilion (RM8.30 bilion) dalam masa 47 hari tayangan berbanding filem Avenger:Endgame yang hanya mengambil masa 11 hari sejak ditayangkan sekitar penghujung April lalu.

"Pecutan untuk melepasi kutipan AS$2 bilion (RM8.30 bilion) itu amat sukar dipercayai, dan untuk mencapai rekod global seperti filem Avatar, Avengers:Endgame perlu ditayangkan secara marathon," kata Paul Dergarabedian, penganalisa senior untuk Comscore sambil mengatakan filem itu mampu untuk mencapai matlamat tersebut.

Secara keseluruhan, filem adiwira Marvel yang masih ditayangkan di 4,662 panggung wayang seluruh Amerika Syarikat itu berjaya mencatat kejayaan cemerlang daripada segi kutipan. - AP

Artikel Berkaitan: