Rafizi umum kejayaan Kementerian Ekonomi bulan lalu

Rafizi - Foto Bernama
Rafizi - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Beberapa perkembangan terbaharu dan positif menerusi beberapa sektor ekonomi dan data ekonomi negara telah dicapai bulan lalu.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, ini termasuklah komitmen kerajaan untuk melaksanakan peralihan tenaga boleh baharu bagi mencari peluang pasaran baharu dan mencipta peluang pekerjaan untuk rakyat dalam sektor tenaga.

Menurutnya, perkara itu disuarakan sewaktu persidangan antarabangsa Energy Asia pada 26 Jun lalu di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

“Seperti yang saya sebutkan di Qatar Economic Forum sebelum ini, beberapa keputusan penting berkenaan tenaga boleh baharu akan dilaksanakan termasuklah Malaysia akan melancarkan pasaran tenaga boleh baharu serantau yang akan mempercepat dan membantu grid tenaga boleh baharu rentas sempadan dengan kedudukan strategik geografi negara,” katanya pada Facebook pada Selasa.

Selain itu, beliau turut mengumumkan data terbaru berkenaan kadar inflasi negara yang terus mereda kepada 2.8 peratus bagi bulan Mei yang merupakan kadar inflasi terendah yang berjaya dicapai sejak September 2022.

“Ini mencerminkan trend harga yang semakin stabil yang berterusan. Penurusan kadar inflasi Mei 2023 juga menunjukkan kejatuhan menyeluruh yang merentas semua kategori perbelanjaan yang menandakan penstabilan harga yang menyeluruh,” jelasnya

Tambahnya lagi, kerjasama antara kerajaan persekutuan dan negeri-negeri terus bertambah kukuh apabila beliau meneruskan sesi bertemu wakil-wakil kerajaan negeri Sarawak dan Sabah menerusi Sesi Libat Urus Kajian Separuh Penggal (KSP) RMK ke-12.

“Kajian melibatkan pelbagai pemegang taruh ini penting untuk mengenal pasti sektor-sektor ekonomi yang perlu diberi perhatian dan sokongan bagi membawa keuntungan dan kelebihan ekonomi kepada rakyat di negeri masing masing,” katanya

Beliau turut optimis dengan potensi tenaga hijau akan menyediakan peluang besar kepada ekonomi tenaga boleh baharu di Malaysia.

“Geografi negara kita dan bakat tenaga kerja yang tersedia bermaksud kita memiliki kelebihan untuk meletakkan negara kita sebagai penjana tenaga utama di ASEAN dan jualan semula tenaga hijau.

“Saya berasa gembira dengan usaha-usaha kerajaan negeri yang telah mula meneroka peluang tenaga boleh baharu terutamanya di Sarawak. Dengan kepentingan diselari daripada peringkat kerajaan negeri dan persekutuan, saya menjangkakan kemajuan akan dicapai untuk bulan-bulan mendatang,” ujarnya

Rafizi dalam pada itu turut mengucapkan terima kasih kepada pelbagai pihak seperti World Bank Group yang berterusan berhubung dengan pihak kementerian untuk memberikan input dan pandangan terkini berkenaan ekonomi Malaysia dan global.

“Saya harus tekankan di sini bahawa kerjasama seperti ini penting kerana World Bank Group menyediakan sokongan teknikal dan kewangan kepada projek pembangunan di seluruh dunia dengan fokus khusus di dalam keterjaminan makanan dan iklim, bidang-bidang di mana kementerian ekonomi sedang bekerjasama rapat dengan Kementerian-kementerian lain sejak tujuh bulan yang lalu,” katanya.