Kerjasama Wonda, FAM mahu realisasi Harimau Malaya ke Piala Dunia

Naib Presiden Pemasaran Etika, Amy Gan (kiri) bersama Naib Presiden FAM, Mohd Joehari Mohd Ayub dan Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman selepas majlis pengumuman kerjasama baru-baru ini.
Naib Presiden Pemasaran Etika, Amy Gan (kiri) bersama Naib Presiden FAM, Mohd Joehari Mohd Ayub dan Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman selepas majlis pengumuman kerjasama baru-baru ini.
A
A
A

SYARIKAT minuman tempatan, Wonda Coffee Malaysia terus komited dalam usaha menyokong pasukan bola sepak negara melangkah lebih jauh di pentas antarabangsa menerusi pengukuhan jalinan kerjasama dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Ketua Pegawai Eksekutif Etika, Santharuban T Sundram berkata, kerjasama tersebut sebagai satu inspirasi kepada rakyat untuk terus menyokong Harimau Malaya terutama dalam merealisasikan impian bertanding di Piala Dunia.

"Kami percaya pada impian dan bahawa apa sahaja boleh direalisasikan. Oleh itu, kami sangat teruja untuk bekerjasama bersama FAM dengan harapan untuk mencetuskan revolusi bola sepak di Malaysia dan memberi inspirasi kepada negara untuk terus menggapai mimpi.

"Melalui usaha bersama FAM, kami berharap untuk menyatukan rakyat Malaysia dan mengukuhkan asas bagi membolehkan pasukan bola sepak kebangsaan Malaysia bersaing di peringkat antarabangsa terbesar, Piala Dunia FIFA," katanya dalam satu kenyataan.

Kerjasama antara Wonda dan FAM itu telah diumumkan sebelum perlawanan persahabatan di antara Malaysia dan Kepulauan Solomon di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu baru-baru ini.

"Dengan kerjasama ini, Wonda Coffee berharap untuk bersama rakyat serta semangat jitu mereka untuk bersatu menerusi minat yang sama iaitu bola sepak, terutamanya ketika menyokong pasukan kebangsaan kita.

"Sebagai pemain ke-12 yang menyokong pasukan kebangsaan kita di setiap langkah, kami berharap untuk terus menyemarakkan semangat skuad bola sepak negara mengukir kejayaan dalam sejarah bola sepak negara kita,” ujarnya.

Dalam pada itu, Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin mengalu-alukan Wonda Coffee Malaysia sebagai rakan kopi rasmi badan induk bola sepak negara.

"Kami gembira diberi peluang untuk bekerja dengan jenama yang mempunyai matlamat dan prinsip yang sama. Kerjasama ini menandakan permulaan era baru buat bola sepak Malaysia.

"Dengan memupuk rasa cinta yang kuat terhadap sukan ini dalam kalangan rakyat Malaysia, kami berharap dapat membina ekosistem bola sepak yang kukuh. Kami berhasrat untuk memotivasikan negara untuk terus menggapai mimpi dan mencapai kejayaan melalui kerjasama ini," katanya.