Johor terima RM3.5 juta naik taraf infrastruktur pelancongan

Onn Hafiz (kiri) menzahirkan penghargaan kepada King Sing (kanan) atas peruntukan RM3.5 juta yang disalurkan bagi meningkatkan infrastruktur kawasan pelancongan di Johor.
Onn Hafiz (kiri) menzahirkan penghargaan kepada King Sing (kanan) atas peruntukan RM3.5 juta yang disalurkan bagi meningkatkan infrastruktur kawasan pelancongan di Johor.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kerajaan Johor menerima peruntukan sebanyak RM3.5 juta disalurkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya bagi kerja-kerja menaik taraf infrastruktur kawasan pelancongan di negeri ini.

Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, peruntukan itu akan merancakkan sektor pelancongan di Johor sekali gus mencapai sasaran ketibaan 10 juta pelancong pada tahun ini.

"Kerajaan Johor menzahirkan penghargaan kepada Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Sri Tiong King Sing kerana bersetuju menyalurkan tersebut.

"Sejak pembukaan semula sempadan antarabangsa pada April 2022, Johor telah menerima 9.14 juta pelancong, dan ia adalah jumlah tertinggi berbanding negara-negara ASEAN yang lain," katanya menerusi kenyataan pada Isnin.

Onn Hafiz menambah menerusi kerjasama dan sokongan pihak Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta agensi berkaitan, misi menjadikan Johor sebagai sebuah destinasi pelancongan utama negara mampu direalisasikan.

"Johor merupakan sebuah negeri yang mempunyai potensi besar dalam sektor pelancongan. Keunikan negeri ini diserikan lagi dengan keindahan pulau-pulau, taman-taman negara, warisan budaya dan sejarah, festival-festival ikonik dan syurga makanan.

"Sebagai contoh, daerah Mersing terkenal dengan keindahan pulau-pulaunya, Taman-Taman Negara yang kaya dengan khazanah alam. Selain itu Kampung Sungai Melayu, yang dijadikan sebagai kawasan ekopelancongan, juga antara lokasi menarik yang mampu diketengahkan," ujarnya.