PN yakin tawan Selangor walaupun saingan sengit - Wan Ahmad Fayhsal

Wan Ahmad Fayhsal. - Foto Sinar Harian RAFEQ REDZUAN
Wan Ahmad Fayhsal. - Foto Sinar Harian RAFEQ REDZUAN
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perikatan Nasional (PN) tidak menafikan akan berhadapan saingan sengit di Selangor menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal berlangsung tidak lama lagi.

Timbalan Ketua Pemuda PN, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, meskipun bakal berhadapan sengit, namun PN tetap yakin menawan Selangor berdasarkan berlaku perpecahan parti komponen di dalam Barisan Nasional (BN) dan ketidakupayaan Pakatan Harapan (PH) menerajui negara.

Beliau yang juga Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, PN yakin pengundi bukan Melayu akan beralih arah ekoran perpecahan dalam BN dan kelemahan yang sudah terserlah pada PH.

"Cabaran utama PN pada PRN kali ini adalah di Selangor, namun kita akan buat habis-habisan bagi memastikan pengundi akan memihak kepada kami.

"Kelebihan kami pada PRN kali ini disebabkan MCA dan MIC tidak bersama BN, malah tidak mahu membantu UMNO.

"Ini menyebabkan UMNO berjuang sendirian, maka ia satu kelebihan. Oleh itu, kami yakin untuk menawan Selangor," katanya dalam sidang akhbar pada Isnin.

Mengulas lanjut, Wan Ahmad Fayhsal berkata, antara faktor yang bakal menjadi penyumbang kejayaan PN di Selangor adalah senarai calon yang bakal bertanding kali ini.

Beliau berkata, bukan sahaja nama besar seperti Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, beberapa nama besar lain yang pernah berkhidmat dalam sektor awam akan menyertai PN di Selangor pada PRN kali ini.

"Saya tidak mahu mendahului barisan kepimpinan tertinggi untuk menyatakan nama-nama besar ini.

"Tunggulah sehingga hari penamaan calon nanti. Namun apa yang boleh saya katakan, PN adalah pilihan terbaik rakyat Malaysia pada masa ini," ujarnya.

Ditanya sambutan orang ramai terhadap PN, beliau berkata, sambutan yang diterima adalah sangat menggalakkan dan ia ditunjukkan oleh rakyat Terengganu baru-baru ini.

Jelasnya, sekitar 50,000 orang hadir dalam program yang diadakan dan yakin boleh mencipta kemenangan 32-0 di Terengganu.

"Kita yakin boleh sapu bersih di Terengganu dan Kelantan seperti mana pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

"Seboleh-bolehnya, kita tidak mahu bagi satu pun pada UMNO atau PH di dua negeri ini," ujarnya.