'Terserah BNM wajibkan pengeksport tukar hasil kepada ringgit'

Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz
Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan menyerahkan kepada Bank Negara Malaysia (BNM) untuk membuat keputusan sama ada mewajibkan pengeksport menukarkan semula hasil yang dijana dalam mata wang asing kepada ringgit.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, langkah tersebut yang pernah diambil oleh bank pusat itu sekitar tahun 2016, mempunyai kelebihan dan kekurangannya dalam mengawal perbezaan kadar faedah ringgit dan mata wang asing.

"Kalau kita lihat perbezaan kadar faedah (antara Kadar Dasar Semalaman dan Dana Persekutuan Amerika Syarikat (AS) memang agak besar, malahan kadar dolar AS lebih tinggi berbanding kadar ringgit.

"Ini di bawah bidang kuasa BNM. Ada pro dan kontra. Ia boleh dilihat sebagai satu bentuk kawalan modal, jadi (perkara) ini saya biarkan kepada kebijaksanaan BNM bagaimana nak mengawal,” katanya pada sidang media selepas merasmikan pra-pelancaran acara International Electric Mobility Showcase 2023 di sini pada Isnin.

Mengimbas kembali, BNM pada Disember 2016 menetapkan pengeksport tempatan perlu menukarkan 75 peratus hasil yang dijana daripada eksport kepada ringgit dan hanya 25 peratus dibenar dikekalkan dalam mata wang asing.

Tengku Zafrul menyeru syarikat tempatan, terutamanya syarikat berkaitan kerajaan (GLC), untuk sama-sama memainkan peranan dalam menyokong pertumbuhan ringgit dan tidak hanya meletakkan tanggungjawab tersebut kepada kerajaan semata-mata

"Ini penting, kita mesti menunjukkan keyakinan terhadap mata wang kita terutamanya syarikat Malaysia dan GLC yang terlibat dalam pengeksportan.

"Sebagai sebuah negara dagangan, kita adalah pengeksport bersih. Kita mempunyai kedudukan akaun semasa, yang sepatutnya positif bagi mata wang kita, tetapi kita mesti (juga) memastikan (bahawa) kita terus bersemangat untuk menyokong mata wang negara kita juga,” katanya.

Ringgit dibuka lebih tinggi berbanding dolar AS pagi ini selepas pengumuman data senarai gaji bukan pertanian Amerika Syarikat yang lebih lemah dan ini telah membantu menstabilkan mata wang tempatan.

Pada jam 9 pagi, unit tempatan menambah nilai kepada 4.6555/6600 berbanding dolar AS daripada 4.6655/6675 pada penutup Jumaat. - Bernama