[VIDEO] PRN: Ras Adiba sedia jadi calon jika diberi peluang

A
A
A

SEREMBAN - Bekas Senator, Datuk Ras Adiba Radzi bersedia menjadi calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ini sekiranya diberi peluang oleh pucuk pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Beliau yang berasal dari Seri Menanti, Kuala Pilah berkata, bagaimanapun terpulang kepada pimpinan parti untuk membuat keputusan.

"Tidak tahulah (menjadi calon atau tidak). Saya sertai Bersatu ini nak bersama-sama menolong (bukan tujuan untuk dicalonkan) dalam perjuangan PN iaitu gabungan yang mampu membela nasib rakyat.

"Saya bersedia (menjadi calon), tetapi tidak kisah dicalonkan ataupun tidak, saya akan memberikan sokongan 500 peratus kepada sahabat-sahabat dalam Bersatu dan PN. Saya akan turun berkempen nanti," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Negeri (PRN) Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan di sini pada Ahad.

Ras Adiba menerima watikah keahlian pada Ahad.
Ras Adiba menerima watikah keahlian pada Ahad.

Ras Adiba pada majlis sama menerima watikah keahlian Bersatu yang disampaikan oleh Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Turut menerima watikah ialah bekas Timbalan Ketua Bahagian UMNO Putrajaya, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz.

Dua lagi individu iaitu bekas Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) Negeri Sembilan, Azlimah Zamli dan bekas Ketua Cabang PKR Jelebu merangkap bekas Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Pertang, Yus Mazmi Ahmad Yusof pula menyerahkan borang keahlian Bersatu mereka.

Dalam pada itu, Ras Adiba mengakui sebelum ini beliau adalah ahli UMNO namun memutuskan untuk menyertai Bersatu selepas melihat senario politik negara tidak seperti yang diharapkan oleh rakyat.

Malah beliau percaya PN berupaya mengembalikan kecemerlangan dan kesejahteraan negara.

"Saya sebelum ini, terus-terang seperti orang lain juga kita semua bersama dengan UMNO (ahli) tetapi setelah mengamati senario politik negara saya dapati ia tidak begitu apa yang kita harapkan.

"Rakyat sedang menderita, kita dah susah beberapa bulan ini, saya berharap dan berdoa agar Bersatu di bawah kepimpinan Tan Sri Muhyiddin dan pasukan akan mengembalikan cahaya semula kepada negara kita.

"Justeru menjadi ahli Bersatu saya dapat bersama- sama membantu dan menyokong supaya Bersatu dan PN menjadi kerajaan Insya-ALLAH," katanya.

Ras Adiba sebelum ini dilantik sebagai Senator bagi mewakili golongan kurang upaya (OKU) pada Mei 2020 iaitu ketika pemerintahan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.