'PH-BN hilangkanlah rasa curiga satu sama lain' - Amirudin

Amirudin (depan, tengah) bersama jentera pilihan raya DUN Sungai Tua pada Ahad.
Amirudin (depan, tengah) bersama jentera pilihan raya DUN Sungai Tua pada Ahad.
A
A
A

GOMBAK - Perasaan curiga dan rasa tidak puas hati perlu dibuang jauh jika ada dalam kalangan pemimpin PH dan BN tidak tercalon dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor pada 12 Ogos depan.

Pengerusi PH Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, keputusan rundingan kerusi di peringkat pucuk pimpinan telah selesai dan akan diumumkan dalam masa terdekat.

Menurutnya, semua pihak perlu sedia untuk reda dan berlapang dada dengan keputusan tersebut serta kekal bersama atas semangat perpaduan.

"Adat bergabung, kita kena sedia reda dan kena sedia memberi. Kita bukan tamak haloba tetapi keutamaan kita 'winability' iaitu mesti menang.

"Justeru, saya minta jentera PH dan BN untuk hilangkan rasa tidak puas hati, bimbang dan curiga itu. Kita capai kemenangan dahulu," katanya pada Pelancaran Jentera Pilihan Raya Perpaduan N16 DUN Sungai Tua pada Ahad.

Dianggarkan lebih 800 jentera daripada parti PH dan BN hadir pada program di padang awam Batu Caves.

Amirudin berkata, PH Selangor telah membuktikan komitmen sebagai sebuah gabungan apabila tidak menunggu lama membawa masuk wakil rakyat BN menjadi sebahagian daripada pentadbiran kerajaan negeri sebaik terbentuknya Kerajaan Perpaduan di peringkat Pusat.

"Ini baru permulaan dan selepas ini kena turuti kerja yang baik untuk bangunkan serta jaga negeri kita bersama-sama.

"Kita bentengi kubu negeri kita ini bersama-sama daripada perosak dan pengkhianat. Akhirnya kita akan dapat melihat Selangor sebuah negeri maju, terancang seperti yang dibina lima tahun kebelakangan ini khususnya selepas pandemik Covid-19," katanya.

Beliau yakin, pengalaman BN dalam pentadbiran kerajaan mampu membawa Selangor menjadi negeri yang lebih baik dan stabil.

"Sebab itu apabila disebut reformasi, ini adalah nadi dan jiwa parti iaitu perubahan ke arah kebaikan dan pembetulan kepada segala ruang kosong serta kesilapan.

"Kita yakin dengan pengalaman rakan-rakan BN dalam pentadbiran, kita dapat percepat proses pembetulan dan bentuk negeri kita jauh lebih baik, bukan negeri tidak stabil yang perlu tukar menteri setiap bulan," katanya.