Tun Faisal sertai Bersatu

Tun Faisal Ismail Aziz
Tun Faisal Ismail Aziz
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Bekas Timbalan Ketua Bahagian UMNO Putrajaya, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz mengesahkan beliau menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkuat kuasa hari ini.

Beritahu Tun Faisal, keahliannya telah diluluskan pada Jumaat (7 Julai) dan mengikut perancangan beliau bakal menerima watikah keahlian pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Negeri (PRN) Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan di Seremban, malam ini.

“Sebenarnya, sejak dua minggu lalu saya sudah membuat keputusan untuk masuk Bersatu. Bagi saya, apabila menyertai parti ini, saya boleh memainkan peranan yang lebih.

“Saya pilih Bersatu berbanding Pas kerana ia tidak mempunyai banyak perbezaan daripada aspek perjuangan dan objektif. Kedua-duanya dalam Perikatan Nasional,” katanya ketika dihubungi pada Sabtu.

Pada 31 Januari, Sinar Harian melaporkan, Tun Faisal mengumumkan beliau telah dipecat keahliannya dalam UMNO setelah hampir dua tahun digantung.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu bahawa penyertaannya itu secara tidak langsung dapat membantu pengurusan secara terus.

“Seperti yang kita tahu, Ahli Parlimen Putrajaya ialah Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin, jadi saya rasa dia memerlukan bantuan orang tempatan yang sudah lama berada dalam wilayah berkenaan.

“Oleh sebab itu, saya merasakan dengan menyertai Bersatu saya boleh memberikan maklumat berkaitan isu tempatan dan pada masa sama dapat memperkasakan Bersatu di wilayah berkenaan,” ujarnya.