Syahredzan teliti untuk saman bekas ADUN Bangi

Ciapan Syahredzan di Twitter pada Ahad.
Ciapan Syahredzan di Twitter pada Ahad.
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan sedang meneliti untuk menyaman Yang Dipertua (YDP) Pas Bangi, Mohd Shafie Ngah kerana didakwa memfitnahnya pada satu program Perikatan Nasional (PN).

Syahredzan berkata, beliau telah mengarahkan peguamnya untuk segera mengkaji fitnah yang ditujukan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bangi itu terhadap dirinya.

"Saya baru sahaja menelefon peguam saya mengenai ucapan Shafie Ngah di program PN Bangi.

"Saya telah arahkan peguam saya untuk kaji dengan kadar segera dan mengambil tindakan undang-undang terhadap fitnah yang sekali lagi dilemparkan terhadap saya," katanya menerusi ciapan di Twitter pada Ahad.

Bagaimanapun, Syahredzan yang turut memuat naik gambar Mohd Shafie pada ciapannya berkenaan tidak memperincikan kandungan ucapan pemimpin Pas tersebut.

Pada Mei lalu, Syahredzan turut dilaporkan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap penyokong Perikatan Nasional (PN) terutamanya Pas yang memfitnahnya berhubung isu kalimah ALLAH.

Kata setiausaha politik kepada veteran DAP, Lim Kit Siang itu, mana-mana pihak yang masih berdegil dan terus memfitnahnya, mereka akan berdepan risiko disaman.