KKD fokus tahap capaian internet di jalan raya, kawasan penduduk

Fahmi Fadzil - Foto Bernama
Fahmi Fadzil - Foto Bernama
A
A
A

BANTING - [DIKEMAS KINI] Kementerian Komunikasi dan Digital akan memfokus kepada tahap capaian liputan internet di jalan raya yang menghubungkan kawasan berpenduduk dan bukan hanya kepada kawasan berpenduduk.

Menteri berkenaan, Fahmi Fadzil berkata, pihaknya akan meneliti perkara itu bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) memandangkan capaian internet merupakan kemudahan asas yang perlu dinikmati oleh semua rakyat sama seperti jalan, sumber elektrik serta air.

Fahmi berkata, isu keperluan internet di jalan raya dikenal pasti susulan lawatan kerja beliau ke Negeri Sembilan baru-baru ini.

"Di Rembau dan Felda Palong 11, (capaian) internetnya cantik tapi di sepanjang perjalanan ke sana tiada internet, jadi saya lihat ada keperluan untuk kementerian dan MCMC meneliti beberapa perkara (berkenaan liputan Internet di jalan raya),” katanya ketika berucap pada program Kita Madani Peringkat Negeri Selangor di Kampung Bukit Changgang pada Ahad.

Beliau juga berkata, jumlah kadar penembusan jalur lebar tetap di Selangor pada suku pertama tahun ini mencecah 61.6 peratus manakala bagi jalur lebar mudah alih sebanyak 126.1 peratus.

"Ini menunjukkan perkembangan positif dan kerajaan sentiasa komited memastikan capaian Internet di Selangor berada pada tahap terbaik,” katanya.

Sementara itu, KKD dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa sebanyak 168 Komuniti Madani akan ditubuhkan di Selangor tahun ini yang melibatkan 56 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Menurut kenyataan itu, penubuhan Komuniti Madani bertujuan menyuburkan semangat kebersamaan serta mempromosi dasar-dasar Kerajaan Perpaduan dan konsep Malaysia Madani kepada masyarakat.

Sebelum ini, Fahmi berkata, Komuniti Madani berperanan membantu menyalurkan informasi tepat dan sahih selain menyebarluaskan inisiatif yang dilaksana oleh kerajaan ke peringkat akar umbi secara berterusan.

Komuniti Madani merupakan badan sukarela terdiri daripada pelbagai kaum yang ditadbir urus oleh Jabatan Penerangan Malaysia.

Setakat ini, sebanyak 1,878 Komuniti Madani telah ditubuhkan di seluruh negara.