Berhati-hati terhadap inflasi teras kekal tinggi - Gabenor BNM

Abdul Rasheed
Abdul Rasheed
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia harus berhati-hati terhadap inflasi memandangkan inflasi teras masih tinggi malah lebih tinggi daripada biasa, kata Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Abdul Rasheed Ghaffour.

Inflasi yang tinggi boleh menyukarkan kehidupan rakyat terutamanya golongan berpendapatan rendah serta ia boleh menjejaskan ekonomi, katanya.

"Inflasi yang tinggi menjejaskan kuasa beli bermakna apa yang anda boleh beli dengan RM100 sekarang, nilainya mungkin akan lebih rendah pada masa depan,” katanya kepada Bernama dalam wawancara eksklusif pertamanya dengan media sejak dilantik sebagai Gabenor BNM pada 1 Julai, 2023.

Abdul Rasheed memberitahu bahawa inflasi yang tinggi turut menggunakan dana dalam simpanan.

"Selain itu, kenaikan harga yang tidak terkawal menyukarkan perniagaan untuk merancang dan melabur. Ini menjejaskan potensi pertumbuhan dan prospek negara dan ia merupakan sesuatu yang kta mahu elakkan,” tegasnya.

Pada Khamis, bank pusat itu berkata, kedua-dua inflasi keseluruhan dan inflasi teras diunjurkan menurun pada separuh kedua 2023.

Bagaimanapun, BNM berkata, bahawa walaupun inflasi teras telah menyederhana, ia kekal tinggi berbanding purata jangka panjang dalam persekitaran faktor permintaan dan kos yang berpanjangan.

Ketika sidang media pada Mei 2023 untuk mengumumkan prestasi suku pertama Malaysia, BNM menjangkakan inflasi keseluruhan dan teras akan kekal lebih tinggi pada 2023 daripada paras prapandemik dengan purata antara 2.8 peratus dan 3.8 peratus untuk sepanjang tahun tersebut.

Ringgit dinilai rendah, dipengaruhi oleh perkembangan luaran,

Abdul Rasheed berkata, kejatuhan nilai ringgit baru-baru ini tidak memberikan gambaran yang tepat tentang asas-asas ekonomi Malaysia.

Beliau berkata, ekonomi Malaysia sangat berdaya tahan sepanjang tempoh pandemik.

"Ringgit dinilai rendah dan ia seharusnya meningkat bagi mencerminkan asas-asas ekonomi negara,” katanya.

Pada jam 6 petang, Jumaat, ringgit ditutup pada 4.6655/6675 berbanding dolar AS, turun berbanding 4.6580/6630 ketika ditutup pada Khamis.

Abdul Rasheed berkata, dagangan mata wang itu baru-baru ini didorong oleh perkembangan dan sentimen luaran dengan pergerakan dolar AS dan prestasi ekonomi China yang lebih lemah terus menjejaskan ringgit.

Selain itu, kenaikan secara beransur-ansur Kadar Dasar Semalaman (OPR) di Malaysia berbanding rakan utama dan serantau telah menjadikan kadar faedah dasar negara antara yang terendah di rantau ini.

Beliau berkata, BNM komited untuk memastikan keadaan pasaran yang teratur dan akan campur tangan untuk mencegah turun naik ringgit yang berlebihan.

"Malaysia adalah ekonomi yang kecil dan terbuka dan apa yang berlaku di dunia memberi kesan kepada negara tetapi selama beberapa dekad, ekonomi kita telah berubah, dipelbagaikan daripada segi struktur ekonomi dan rakan dagang.

"Ini bermakna kita tidak terlalu bergantung kepada satu produk eksport sahaja atau rakan dagang tertentu," katanya.

Mengenai daya tahan ekonomi Malaysia, beliau berkata, pertumbuhan 5.6 peratus pada suku pertama 2023 adalah antara yang tertinggi di rantau ini dan Malaysia terus mencatatkan lebihan akaun semasa.

Imbangan akaun semasa Malaysia merekodkan lebihan sebanyak RM4.3 bilion atau 1.0 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada suku pertama 2023.

"Melangkah ke hadapan, limpahan positif daripada pembukaan semula China dan prospek pertumbuhan ekonomi domestik yang sihat akan memberikan sokongan kepada ringgit,” katanya.

Abdul Rasheed berkata, keputusan Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) BNM baru-baru ini untuk mengekalkan OPR pada 3.0 peratus adalah konsisten dengan mandat BNM untuk mengekalkan kestabilan harga bagi pertumbuhan ekonomi yang mampan di negara ini.

Beliau berkata, berdasarkan data yang dibentangkan kepada MPC, ekonomi berkembang dengan stabil dan permintaan domestik kekal berdaya tahan, ia amat penting memandangkan permintaan luaran yang lebih perlahan.

"Selain itu, harga masih meningkat tetapi berlaku pada kadar yang lebih perlahan. Ini menunjukkan kenaikan sebelum ini sebanyak 125 mata asas telah memberikan kesan positif kepada ekonomi dan membuahkan hasil. - Bernama