PRN: Pas tampilkan 30 peratus calon baharu

Takiyuddin
Takiyuddin
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Pas menampilkan 30 peratus calon muka baharu yang akan bertanding di 126 kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri pada 12 Ogos depan.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, ia termasuk calon wanita yang turut disenaraikan untuk bertanding di kesemua negeri terlibat.

"Rundingan bagi agihan kerusi kita (Pas) dengan parti-parti komponen telah selesai dan kita kini di peringkat menamakan calon-calon bagi kerusi yang dipertandingkan.

"Kita telah meneliti setiap senarai calon yang telah dikemukakan, ada yang kemuka dua, tiga calon bagi satu kerusi dan ia akan dimuktamadkan sebelum hari penamaan calon (29 Julai).

"Sebahagian besar calon yang akan ditampilkan adalah 70 peratus calon muka lama dan ada juga muka baru termasuk calon wanita," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Pas Pusat di sini, pada Sabtu.

Menurut Takiyuddin, semua senarai calon berkenaan akan melalui proses tapisan Majlis Syura Ulama dan melepasi kriteria ditetapkan sebelum dimuktamadkan.

Sebelum ini, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan gabungan itu akan bertanding di 245 kerusi pada PRN kali ini.

Daripada jumlah itu, 83 kerusi akan ditandingi Bersatu, 126 (Pas) dan 36 (Gerakan).

Dalam pada itu, Takiyuddin berkata, jentera parti itu kini telah bersiap siaga dalam memastikan kelancaran sepanjang tempoh kempen dan hari pengundian.

"Dari segi persiapan PRN pula, enam negeri telah buat persiapan dan sudah mantap. Kita akan gabungkan jentera pilihan raya Pas dengan jentera Bersatu dan Gerakan yang akan bersama-sama bekerja untuk PN," katanya.

SPR baru-baru ini menetapkan hari pengundian PRN di enam negeri melibatkan Terengganu, Kelantan, Kedah, Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang diadakan serentak pada 12 Ogos manakala 29 Julai hari penamaan calon dan 8 Ogos sebagai hari pengundian awal.