Bayi lelaki lemas dalam sungai selepas terjatuh dari pelampung

Lokasi dipercayai di mana mangsa terjatuh di Lubuk Pedati, Baling pada Sabtu.
Lokasi dipercayai di mana mangsa terjatuh di Lubuk Pedati, Baling pada Sabtu.
A
A
A

BALING - Seorang bayi lelaki berusia setahun tujuh bulan ditemukan lemas dipercayai terjatuh dari pelampung yang dinaiki bersama bapa mangsa dalam kejadian kira-kira 11.51 pagi di Lubuk Pedati di sini, pada Sabtu.

Seorang saksi enggan dikenali berkata, kejadian dikatakan berlaku ketika mangsa, Adryan Mikhael Mohamad Afiq bersama bapa dan seorang lagi kanak-kanak menaiki pelampung semasa beriadah di kawasan berkenaan.

"Bagaimanapun, pelampung berkenaan dikatakan terlanggar perdu buluh menyebabkan mangsa terjatuh," katanya.

Difahamkan, seorang lagi kanak-kanak lelaki berusia lingkungan dua tahun berjaya diselamatkan sementara mangsa dihanyutkan sungai.

Selain itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling, Mohd Jamil Mat Daud berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 12.04 tengah hari.

Menurutnya, sepasukan anggota dari BBP Baling yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II, Mohd Jusoh Abdul Wahab tiba di lokasi tidak lama kemudian bagi operasi mencari dan menyelamat.

Pelampung yang dipercayai dinaiki mangsa bersama bapanya.
Pelampung yang dipercayai dinaiki mangsa bersama bapanya.

"Setibanya di lokasi, Komander Operasi memaklumkan terdapat seorang bayi lelaki hanyut ke dalam sungai berhampiran sebuah tapak perkhemahan.

"Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah turut meminta maklumat dari Pasukan Bomba Sukarela (PBS) berhampiran.

"Operasi turut dibantu malim gunung dan polis, Angkatan Pertahanan Awam (APM), Persatuan Rekreasi Luar dan orang awam," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Jamil berkata, mayat ditemukan kira-kira 3.3 kilometer (km) dari tempat dilaporkan hilang.