'Kekurangan peruntukan bukan punca kontinjen negara tampil prestasi buruk'

Hannah bercakap pada sidang media ketika Karnival Allianz MoveFoward 2023 di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil hari ini. - Foto Bernama
Hannah bercakap pada sidang media ketika Karnival Allianz MoveFoward 2023 di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KEKURANGAN peruntukan bukan punca utama kontinjen Malaysia mencatatkan pencapaian terburuk pada temasya Sukan SEA, Kemboja yang melabuhkan tirainya 17 Mei lepas, kata Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

Beliau berkata, Majlis Sukan Negara (MSN) telah mengumpul segala input cabaran yang dihadapi atlet daripada persatuan sukan yang dibangkitkan pada sesi mesyuarat pascanilai yang diadakan pada Jumaat dan Sabtu lepas.

"(Kekurangan bajet) bukan (faktor utama), ada pelbagai faktor, mereka (MSN) telah kumpul, kita akan lihat satu persatu.

"Kita juga ingin pastikan sekiranya ada cabaran yang boleh diatasi dalam jangka masa terdekat sebelum Sukan Asia, kita akan atasi,” katanya kepada pemberita pada Karnival Allianz Moveforward di MSN di sini hari ini.

Mengulas mengenai perkara itu, Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata, prestasi kurang memberangsangkan kontinjen negara boleh dikaitkan dengan pengurusan program latihan, pengurusan atlet dan pelepasan pekerjaan atlet.

Beliau berkata, ia dimaklumkan oleh persatuan-persatuan sukan pada sesi mesyuarat pascanilai terbabit.

"Itu faktor utama yang kita akan kumpulkan dan bentangkan semula kepada jawatankuasa dan menteri, mana perkara yang boleh diatasi dengan segera dan jangka masa panjang, kita akan atasi,” katanya.

Pada Jumaat dan Sabtu lepas, Hannah bersama MSN, 38 wakil persatuan sukan kebangsaan dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) telah menjalani sesi pascanilai berikutan pencapaian terburuk kontinjen negara di temasya dwitahunan itu.

Mesyuarat terbabit turut dihadiri wakil Universiti Sains Sukan Nippon (NSSU) di Tokyo, Jepun yang diminta memantau sesi terbabit selain mengemukakan cadangan penambahbaikan bagi temasya sukan itu pada masa akan datang.

Di Sukan SEA Kemboja 2023, Malaysia mencatatkan pencapaian terburuk dalam sejarah temasya dwitahunan itu sejak 1959, apabila menamatkan cabaran di kedudukan ketujuh keseluruhan dengan 34 pingat emas, 45 perak dan 97 gangsa, sekali gus gagal mencapai sasaran 40-37-64. - Bernama