Michelle harap pengganti miliki kepakaran teknikal

Michelle
Michelle
A
A
A

KETUA Pegawai Eksekutif (CEO) Akademi Badminton Malaysia (ABM) Michelle Chai berharap penggantinya selepas ini mempunyai kepakaran teknikal dalam sukan berkenaan.

Michelle yang bakal menamatkan perkhidmatannya pada 6 Ogos depan berkata, kekurangan beliau sepanjang menerajui ABM ialah pengetahuan teknikal setanding dengan jurulatih dan pengarah kejurulatihan.

"Harapan dalam badminton adalah sentiasa tinggi. Saya merasakan apa yang saya tidak dapat sumbangkan ialah analisis teknikal. Sudah tentu saya boleh menyumbang dari segi perbincangan asas, tetapi dari segi teknikal agak terbatas.

"Kalau CEO baharu mempunyai kepakaran, dia boleh berbincang setaraf dengan pengarah kejurulatihan dan merangka pelan dan program dengan lebih baik. Kalau CEO baharu boleh tambah aspek ini, akan ada nilai tambah," katanya kepada pemberita di ABM.

Michelle membuat keputusan melepaskan jawatannya pada 9 Mei lepas, susulan kekalahan 0-3 skuad wanita negara di tangan Filipina dalam saingan suku akhir acara berpasukan di Sukan SEA Kemboja 2023.

Michelle berkata, beliau menyerahkan kepada pihak tertinggi Jawatankuasa Road to Gold (RTG) untuk menentukan khidmatnya sebagai Penyelaras Projek RTG dikekalkan atau tidak.

Dalam perkembangan lain, Michelle berkata pemain perseorangan dan beregu lelaki negara diletakkan sasaran pingat pada Kejohanan Badminton Remaja Asia 2023 yang bermula hari ini Yogyakarta, Indonesia.

Bagi perseorangan wanita, beregu wanita dan berpasukan, ABM menyasarkan skuad negara mara ke suku akhir.

Sementara itu, Setiausaha Agung BAM Datuk Kenny Goh berkata badan induk itu memerlukan masa untuk mencari pengganti Pengarah Kejurulatihan Perseorangan yang ditinggalkan Wong Choong Hann yang melepaskan jawatan bulan lepas.

"Kita tidak mahu terburu-buru kerana kita mahukan calon terbaik. Kita telah berbincang dengan semua jurulatih, mereka tahu tanggungjawab masing-masing dan akan menyertai beberapa kejohanan di luar. Kita telah berikan jadual perjalanan, kita akan pantau mereka,' katanya.

Choong Hann yang menyertai BAM sejak November 2018 sebagai pengarah kejurulatihan sebelum mengambil tugas sebagai pengarah kejurulatihan perseorangan, akan mengisi kekosongan yang ditinggalkan Wong Tat Meng sebagai jurulatih perseorangan lelaki Hong Kong.

Sementara Tat Meng yang juga bekas pemain negara, memilih untuk membimbing perseorangan utama negara Lee Zii Jia.