Puteri UMNO intai jadi calon PRN

Nurul Amal (duduk, tengah) ketika sidang media Mesyuarat Exco Puteri UMNO Malaysia di ibu negara pada Jumaat.
Nurul Amal (duduk, tengah) ketika sidang media Mesyuarat Exco Puteri UMNO Malaysia di ibu negara pada Jumaat.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Puteri UMNO berharap pucuk pimpinan parti mempertimbangkan calon daripada sayap parti itu bagi menghadapi pilihan raya negeri (PRN).

Ketuanya, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi berkata, pihaknya telah menghantar senarai nama beberapa calon yang berpotensi.

Bagaimanapun beliau enggan mendedahkan negeri yang terlibat.

"Insya-ALLAH ada (calon PRN). Tapi belum muktamad. Kami mengharapkan pimpinan di atas memandang dan meletakkan calon daripada Puteri UMNO untuk bertanding.

"Senarai nama calon dua ke tiga (orang) yang saya rasakan bersedia untuk bertanding di peringkat DUN (Dewan Undangan Negeri) telah dihantar.

"Jadi kita menunggu pertimbangan daripada pimpinan atas," katanya pada sidang media Mesyuarat Exco Puteri UMNO Malaysia di sini pada Jumaat.

Puteri UMNO bersedia menghadapi PRN dengan gerak kerja bersama parti gabungan Kerajaan Perpaduan.
Puteri UMNO bersedia menghadapi PRN dengan gerak kerja bersama parti gabungan Kerajaan Perpaduan.

Dalam pada itu, Nurul Amal berkata, persiapan jentera Puteri UMNO bagi menghadapi PRN kini mencapai 68 peratus.

Katanya, beberapa penambahbaikan sedang diteliti dalam memastikan sokongan pengundi wanita muda memihak kepada calon daripada parti Kerajaan Perpaduan.

"Ada gerak kerja dibuat bersama parti gabungan dalam Kerajaan Perpaduan. Kami tekankan kepada jentera bawah untuk pastikan tak lari daripada fokus pengundi wanita muda bawah 40 tahun.

"Penggunaan media sosial juga akan diberi tumpuan kerana ia merupakan tarikan orang muda," katanya.

Beliau turut mengingatkan jentera parti agar tidak 'membakar rumah sendiri' meskipun berdepan provokasi ketika PRN nanti.