Kedudukan Aminuddin sebagai calon MB Negeri Sembilan akan dibincang

Anwar menyampaikan ucapan pada Majlis Amanat Perdana Menteri Bersama Penjawat Awam Negeri Sembilan di Dewan Bandaraya Seremban pada Jumaat. - Foto Bernama
Anwar menyampaikan ucapan pada Majlis Amanat Perdana Menteri Bersama Penjawat Awam Negeri Sembilan di Dewan Bandaraya Seremban pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

SEREMBAN - Kedudukan Datuk Seri Aminuddin Harun sebagai calon Menteri Besar akan dibincangkan bersama semua parti dalam Kerajaan Perpaduan sekiranya gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) di Negeri Sembilan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau bagaimanapun gembira dan berpuas hati dengan prestasi yang telah ditunjukkan oleh Aminuddin sepanjang lima tahun beliau menjalankan tugasnya.

“Kami akan membincangkannya, tetapi saya gembira dan berpuas hati dengan prestasi yang telah beliau tunjukkan termasuk menarik pelaburan.

"Parti komponen akan berbincang mengenainya tetapi kita tak boleh berbincang sekarang tetapi buat masa ini beliau (Aminuddin) dilihat seperti 'poster boy' kerana beliau merupakan Menteri Besar,” katanya kepada pemberita pada Majlis Amanat Perdana Menteri Kepada Penjawat Awam Negeri Sembilan di Dewan Majlis Bandaraya Seremban di sini pada Jumaat.

Sementara itu, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata, perbincangan mengenai pengagihan kerusi PRN di peringkat kepimpinan parti terlibat sudah pun selesai.

“Di peringkat saya, berbincang dengan Anthony Loke Siew Fook (Setiausaha Agung DAP), (Ahmad) Zahid Hamidi (Pengerusi BN) nampak selesai namun masih beri ruang untuk perbincangan di peringkat negeri sedikit lagi, di peringkat saya sudah selesai,” katanya.