Kembalikan keyakinan pelabur antarabangsa tangani susut ringgit

Noor Azlan
Noor Azlan
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan dinasihatkan untuk memberi perhatian ke atas asas ekonomi negara bagi menangani penyusutan nilai mata wang ringgit.

Pakar ekonomi, Profesor Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali berkata, ia termasuk memulihkan keyakinan antarabangsa sehingga negara kembali menjadi antara destinasi pelaburan yang lebih berkualiti.

"Berdasarkan penarafan daya saing global IMD (Institut Antarabangsa bagi Pembangunan Pengurusan), Malaysia kini di berada di tangga ke-27 di dunia dari 63 buah negara. Jauh lebih rendah berbanding 10 tahun yang lalu di tangga ke-15 (2013).

"Dalam beberapa kategori seperti Kecekapan Perniagaan, Perundangan Perniagaan dan Bakat, kita berada di tangga 30-45. Jangan dibiar berterusan. Tangani segera kelemahan kita. Jangan bertangguh,” kata beliau dalam satu hantaran di Facebook pada Khamis.

Beliau turut menegaskan bahawa nilai mata wang berdasarkan status ekonomi sebuah negara berbanding negara mata wang tukaran.

Bagaimanapun, Noor Azlan tidak menafikan yang ia turut dipengaruhi oleh faktor global yang lain.

“Semenjak tambatan kepada dolar AS ditamatkan pada Julai 2005, ringgit berada dalam julat RM2.9-3.8 per dolar AS selama hampir 10 tahun. Kemudiannya bermula pertengahan 2015, ringgit berganjak ke julat yang lebih rendah iaitu RM3.80 ke RM4.60 per dolar.

“Sewajarnya kita perlu memberi perhatian ke atas asas ekonomi negara dan tidak hanya menumpu kepada perubahan di Amerika Syarikat dan ekonomi global sebagai penyebab kepada penyusutan ringgit.

“Jawapan kepada penyusutan ringgit berkemungkinan besar berada di Putrajaya dari Bank Negara,” tambahnya.