KPDN, KPKM kerjasama banteras isu tukar label kampit beras

Salahuddin melihat makanan laut pada Majlis Pelancaran Inisiatif Payung Rahmah bersama Jaya Grocer dan Grab Malaysia di KL East Mall pada Khamis. - Foto Bernama
Salahuddin melihat makanan laut pada Majlis Pelancaran Inisiatif Payung Rahmah bersama Jaya Grocer dan Grab Malaysia di KL East Mall pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan bekerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bagi membanteras isu penukaran label kampit beras yang dilapor dilakukan bagi memanipulasi harganya di pasaran.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, walaupun ia terletak di bawah bidang kuasa KPKM menerusi Kawalselia Padi dan Beras (KPB), namun pihaknya juga akan bertindak apabila aduan diterima.

"Tentang perkara ini, kita masih lagi menunggu aduan dan jika ada aduan itu kita akan lihat namun setakat hari ini kita belum dapat lagi bukti berkenaan perkara ini (tukar label beras tempatan kepada import) berlaku.

"Dalam mesyuarat kabinet semalam, kedua-dua kementerian ini ada berbincang mengenai perkara ini dan kami akan memantau dan buat sesuatu, termasuk mengambil tindakan jika aduan itu didapati benar," katanya ketika ditemui selepas melancarkan Inisiatif Payung Rahmah bersama Jaya Grocer dan Grab Malaysia di KL East Mall di sini, pada Khamis.

Sebelum ini, terdapat laporan media bahawa wujud segelintir pemborong beras didakwa cuba memanipulasi harga kawalan ditetapkan kerajaan dengan menukar kampit beras tempatan kepada kampit beras import bagi mengaut keuntungan besar.

Taktik itu dipercayai dilakukan kerana harga beras import tidak dikawal kerajaan, sebaliknya hanya diapungkan, manakala harga beras tempatan ditetapkan pada RM26 untuk beg 10 kilogram (kg).

Mengenai cadangannya sebelum ini agar pesakit kanser dibenarkan membeli susu formula khas di hospital dengan harga lebih murah daripada pasaran, beliau berkata, berdasarkan mesyuarat kabinet semalam Kementerian Kesihatan (KKM) menyambut baik perkara berkenaan.

"Semalam, dalam mesyuarat kabinet, Menteri Kesihatan (Dr Zaliha Mustafa) ada mengatakan bahawa hospital bersedia untuk membuka sekiranya ada pelanggan yang ingin membeli susu jenis itu, jadi perincian tentang jenis dan keberadaan itu sekiranya ada pemintaan kita akan bincang dengan pihak KKM," katanya.

Difahamkan, harga susu itu yang dahulunya dijual pada harga RM78 meningkat secara berperingkat, kini sudah mencecah sehingga RM94, sekali gus membebankan pesakit, khususnya mereka yang kurang berkemampuan.

Berkenaan pelancaran inisiatif Payung Rahmah bersama Jaya Grocer dan Grab, kerjasama tersebut menyaksikan penawaran promosi eksklusif melalui tiga inisiatif di platform aplikasi Grab.

Inisiatif itu antara lain meliputi Pakej Rahmah iaitu tawaran pakej mix and match serendah RM18 di GrabFood, Jualan Rahmah membabitkan diskaun sehingga 40 peratus untuk barangan keperluan harian eksklusif di Jaya Grocer melalui GrabMart dan Bakul Rahmah bagi menyokong komuniti pemandu Orang Kurang Upaya (OKU) Grab dan rakan kongsi penghantaran dengan kotak keperluan asas. - Bernama