Annuar Musa sedia jadi calon PRN

Annuar Musa
Annuar Musa
A
A
A

BACHOK - Presiden Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa memberi bayangan sedia membuat pertimbangan jika diberi peluang oleh Pas untuk menjadi calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini.

Annuar berkata, bagaimanapun beliau lebih selesa memberi laluan kepada tokoh-tokoh lain yang sudah lama bersama Pas untuk diangkat sebagai calon.

"Saya masih ahli baharu. Sebagai orang baharu kena beri laluan kepada ahli lama dulu.

"Tak jadi calon tidak mengapa, bukan satu masalah. Saya serah kepada pucuk pimpinan parti untuk buat keputusan," katanya semasa sidang akhbar pada malam Rabu.

Sebelum itu beliau menyampaikan ceramah Pakat Pertahan Kelantan: Pas Pilihanku di sini.

Menurut Annuar, pemilihan individu untuk menjadi calon Pas berbeza dengan 'amalan' parti lamanya iaitu UMNO.

Ujarnya, selepas melalui tapisan oleh Majlis Syura Ulama nama-nama calon akan diturunkan kembali kepada badan perhubungan negeri dan akar umbi sebelum diisytiharkan sebagai calon untuk PRN nanti.

Media sebelum ini melaporkan, Majlis Syura Ulama Pas dijangka melakukan tapisan calon parti itu bagi menghadapi PRN pada Jumaat, ketika desas-desus bekas Ahli Parlimen Ketereh, Annuar yang baru menyertai parti itu, mungkin tersenarai sebagai calon di Kelantan.

Segala keputusan berkenaan diserahkan kepada Perhubungan Pas negeri itu, selain proses tapisan Majlis Syura Ulama dijadual diadakan pada Jumaat ini.

Dalam masa yang sama, Pas tidak mempunyai masalah untuk mempertimbangkan penyertaan bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar, ke dalam Pas dan menjadikannya sebagai salah seorang calon pada PRN nanti.

Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, nama Annuar adalah antara yang mungkin diletakkan dalam senarai calon yang akan dikemukakan kepada Majlis Syura Ulama Pas bagi tapisan.