Suhu politik dijangka meningkat - Penganalisis

Manimaran, laporan Sinar Harian pada Rabu. Gambar kecil: Manimaran
Manimaran, laporan Sinar Harian pada Rabu. Gambar kecil: Manimaran
A
A
A

SHAH ALAM - Suhu politik dijangka meningkat selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuat pengumuman bagi tarikh-tarikh penting untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) enam negeri, pada Rabu.

Menurut penganalisis politik, Dr G Manimaran, tarikh 12 Ogos merupakan tempoh sesuai dan kondusif bagi setiap pemegang taruh termasuk SPR sebagai badan tunggal pengurusan pilihan raya selain calon serta parti bertanding.

“Hari pengundian PRN bagi enam negeri yang diumumkan oleh SPR adalah seperti yang saya jangkakan sebelum ini iaitu 29 Julai bagi penamaan calon dan 12 Ogos hari pengundian.

"Saya melihat tempoh lima hingga enam minggu daripada sekarang merupakan masa yang cukup untuk mengadakan pilihan raya, khususnya hari pengundian,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan hari pengundian bagi PRN di enam negeri akan dilaksanakan secara serentak pada 12 Ogos depan dan tarikh penamaan calon ditetapkan pada 29 Julai.

Sementara itu, Manimaran berpandangan bahawa SPR mengambil kira kesemua pertimbangan dan faktor termasuk kepulangan jemaah haji dalam tempoh tiga minggu selepas berada di Tanah Suci.

Katanya, agensi berkenaan juga mengambil kira faktor musim perayaan, cuti umum, hari yang khas termasuk sambutan awal Muharam yang berlangsung pada pertengahan Julai.

“Oleh kerana SPR mengadakan pilihan raya serentak, PRN perlu diadakan sebelum 21 Ogos. Jadi, tarikh yang sesuai ialah 12 Ogos sebelum kita memasuki fasa sambutan bulan kemerdekaan.

“Saya yakin itu merupakan satu keputusan yang akan disambut baik oleh semua pihak,” ujarnya.