Polis Perak bantu negeri jiran hadapi PRN

Mohd Yusri memberikan cenderahati kepada pelajar SMJK Yuk Choy pada program Meniti Karier Dalam PDRM, pada Rabu.
Mohd Yusri memberikan cenderahati kepada pelajar SMJK Yuk Choy pada program Meniti Karier Dalam PDRM, pada Rabu.
A
A
A

IPOH - Kira-kira 20 peratus daripada lebih 9,700 pegawai dan anggota polis di Perak akan digerakkan ke Pulau Pinang, Kedah dan Selangor yang akan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN).

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, jumlah anggota yang terlibat telah diserahkan ke Bukit Aman selaras dengan arahan pucuk pimpinan.

"Kita ada menerima arahan untuk kenal pasti anggota-anggota untuk kita beri bantuan kepada negeri yang menghadapi PRN.

"Setakat ini kita menyerahkan 20 peratus daripada kekuatan polis di Perak dan Bukit Aman yang akan menentukan jumlah kekuatan dari negeri ini untuk diberikan ke negeri jiran yang mengadakan PRN," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Meniti Karier Dalam PDRM anjuran Dewan Perhimpunan Cina Perak di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Yuk Choy, di sini pada Rabu.

Menurut Mohd Yusri, jumlah itu bagaimanapun tidak menjejaskan penugasan di negeri ini.

Sinar Harian melaporkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan hari pengundian bagi PRN di enam negeri akan dilaksanakan serentak pada 12 Ogos depan.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Ghani Salleh memaklumkan bahawa hari penamaan calon ditetapkan pada 29 Julai manakala pengundian awal dilaksanakan pada 8 Ogos.

PRN melibatkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Terengganu, Kedah, Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang.