Wartawan Rusia dibelasah teruk di Chechnya

Wartawan Elena Milashina yang dibelasah sekumpulan penjenayah menerima rawatan di sebuah hospital di Grozny, Chechen. - Foto AP
Wartawan Elena Milashina yang dibelasah sekumpulan penjenayah menerima rawatan di sebuah hospital di Grozny, Chechen. - Foto AP
A
A
A

MOSCOW - Seorang wartawan penyiasat terkenal Rusia, Elena Milashina dibelasah teruk oleh sekumpulan penyerang bersenjata sebaik tiba ke Chechnya pada Selasa.

Laporan media antarabangsa menyebut, Milashina telah dipaksa keluar dari kenderaan yang dinaiki sebelum dibelasah dengan paip plastik selain rambutnya dicukur dan tubuhnya disimbah cat bewarna hijau tidak jauh dari lapangan terbang.

Turut menjadi mangsa kekejaman itu ialah peguam yang menemaninya, Alexander Nemov.

"Jari-jari Elena Milashina patah dan ada masanya dia tidak sedarkan diri. Malah seluruh badannya turut lebam," kata kumpulan hak asasi manusia, Memorial dalam kenyataan yang dikongsi di media sosial.

Insiden itu berlaku pada awal pagi ketika Milashina dan Nemov dalam perjalanan dari lapangan terbang.

"Mereka dibelasah termasuk di muka dan turut menerima ugutan bunuh selain diugut dengan pistol yang diacukan ke kepala. Peralatan dibawa mereka turut dirampas dan dimusnahkan," kata kumpulan berkenaan lagi.

Majikan dan syarikat penerbitan Milahshina bekerja, Novaya Gazeta turut mengesahkan kejadian itu.

Kata Novaya Gazeta, Milashina dan Nemov kini berada di hospital di ibu kota Chechen, Grozny.

Novaya Gazeta turut memaklumkan, Milashina berada di Grozny untuk menghadiri perbicaraan hukuman terhadap Zarema Musayeva iaitu ibu kepada tiga anak yang dibuang negeri susulan kritikannya terhadap pemimpin berpengaruh Chechnya, Ramzan Kadyrov.

Musayeva ditahan tentera Chechnya pada Januari tahun lalu di Nizhny Novgorod, sebuah bandar yang letaknya kira-kira 1,800 kilometer (1,120 batu) di utara Chechnya.

Sementara itu, pada Februari lalu, Novaya Gazeta berkata, Milashina terpaksa meninggalkan Rusia buat sementara waktu selepas menerima ugutan bunuh daripada kepimpinan Chechnya.

Milashina sebelum ini membuat liputan mengenai pencabulan hak di Chechnya untuk akhbar itu selama bertahun-tahun.

Novaya Gazeta pernah memenangi Hadiah Keamanan Nobel pada 2021.

Sejak tahun 2000, enam wartawan dan penyumbang Novaya Gazeta terbunuh, termasuk seorang wartawan penyiasat, Anna Politkovskaya.

Akhbar berkenaan memberi tumpuan kepada pencabulan hak di Chechnya dan Milashina dilaporkan mengikut jejak langkah Politkovskaya yang ditembak mati pada 2006.

Milashina juga dikenali sebagai wartawan yang lantang dan berani mengkritik dasar Kremlin di Chechnya. - Agensi