Jangan 'biasakan' pemberian wang raih undi

Sesuatu pemberian bagi meraih undi di dalam pilihan raya sebagai sedekah adalah juga salah daripada segi undang undang. - Gambar hiasan, gambar kecil: Zairudin
Sesuatu pemberian bagi meraih undi di dalam pilihan raya sebagai sedekah adalah juga salah daripada segi undang undang. - Gambar hiasan, gambar kecil: Zairudin
A
A
A

SHAH ALAM - Pemimpin digesa untuk tidak menormalisasi atau membiasakan pemberian wang untuk meraih undi bagi mengelakkan aktiviti rasuah daripada terus berleluasa.

Naib Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Zairudin Hashim berkata, pemberian sedemikian jika diteruskan boleh menyebabkan kerosakan besar terhadap nilai integriti negara.

Menurutnya, perbuatan itu menggalakkan masyarakat untuk bergantung kepada ganjaran supaya meraih undi, bukan sahaja salah dari segi undang-undang, tetapi implikasi perbuatan itu mampu mendedahkan rasuah kepada generasi muda.

“Sekiranya perbuatan ini diteruskan, kita khuatir masyarakat akan memilih pemimpin berdasarkan pemberian wang ganjaran dan bukan khidmat bakti kepada rakyat selepas dipilih kelak,” katanya kepada Rasuah Busters.

Pada 20 Jun lalu, Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Ahmad Farhan Rosli berkata, sebarang sumbangan mahupun sedekah yang mengharapkan balasan undi terutama pada pilihan raya adalah suatu bentuk rasuah.

Menurut Ahmad Farhan, sesuatu pemberian bagi meraih undi di dalam pilihan raya sebagai sedekah adalah juga salah daripada segi undang undang.

Sementara itu, Zairuddin berkata, penguatkuasaan undang-undang yang lebih baik perlu diperkasakan bagi memastikan rasuah dan ketirisan dapat dibendung sehingga ke peringkat akar umbi.

Beliau berpendapat, sekiranya kerajaan dapat segera melaksanakan Akta Pendanaan Politik, ia mungkin boleh membantu melahirkan pemimpin yang lebih cakna terhadap kesan negatif politik wang.

“Sekiranya tiada penguatkuasaan yang jelas masyarakat akan cenderung memilih pemimpin yang korup kerana sudah terbiasa diberi ganjaran untuk mengundi.

“Kita mahu Akta Pendanaan Politik segera dilaksanakan bagi membendung perbuatan ini daripada mengelak sebarang salah laku rasuah menjelang pilihan raya,” tegasnya.