Kena tegas aspek pemakanan atlet - Hannah

Hannah - Foto Bernama
Hannah - Foto Bernama
A
A
A

MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh meminta semua persatuan sukan dan jurulatih supaya lebih tegas dalam memastikan atlet negara lebih berdisiplin dalam aspek penjagaan makanan bagi mengelakkan kes doping.

Hannah berkata, alasan atlet tidak mengetahui apa yang diambil atau dimakan sehingga mengheret mereka kepada kegagalan ujian doping tidak sepatutnya wujud.

“Atlet tidak boleh bagi alasan mereka tak tahu apa mereka telah makan. ADAMAS (Agensi Anti-Doping Malaysia), MSN (Majlis Sukan Negara) sudah buat pelbagai perkara... Jadi saya minta kerjasama persatuan sukan, jurulatih dan ibu bapa serta atlet itu sendiri ambil perhatian.

“Saya mengikuti kemas kini status atlet di media sosial yang membuat hantaran gambar makanan. Saya bimbang mereka tak jaga pemakanan, jadi saya rasa kita kena perketat dan perkasakan kesedaran. Kalau tidak, memang sia-sia duit kita laburkan apabila mereka kena tangkap (doping),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Menandatangani Akuan Sokongan Kod Sukan Selamat Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bersama ADAMAS, Pegawai Kawalan Doping (DCO) dan Pendidik Anti Doping (Educator) di Putrajaya pada Isnin.

Hannah membuat teguran itu susulan isu doping yang terus mencemari arena sukan negara khususnya di temasya Sukan Malaysia (Sukma) Kuala Lumpur tahun lepas, diikuti satu lagi kes di Kejohanan Trek dan Balapan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) 2023.

Terdahulu, Hannah menyaksikan Akuan Sokongan Kod Sukan Selamat yang ditandatangani lebih 50 ahli ADAMAS, DCO dan Educator di Menara Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di Putrajaya selaras pelancaran kod berkenaan pada 15 Mac lepas. - Bernama